Pemandu trak bomba tidak pasti apa yang dilanggar ketika rusuhan kuil 


Noel Achariam

Saksi inkues kematian Muhammad Adib Mohd Kassim, anggota bomba Elliza Mohd Nor tiba di kompleks mahkamah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 11 Februari, 2019

PEMANDU trak bomba mendengar bunyi hentakan ketika mengundurkan jentera itu dalam cubaan untuk lari daripada perusuh ketika kekecohan di kuil Sri Maha Mariamman namun tidak tahu apa yang dilanggarnya, mahkamah didengar hari ini. 

Anggota bomba Elliza Mohd Nor memberitahu inkues kematian Muhammad Adib Mohd Kassim bahawa, sebaik sahaja pasukannya tiba di lokasi, mereka dihampiri perusuh yang mengelilingi sebuah kereta yang terbakar. 

“Mereka mula membaling batu dan menyerang trak bomba dan kenderaan Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS). Saya jadi takut dan mula mengundurkan trak. 

“Ketika itu saya mendengar bunyi seperti hentakan tetapi tidak merasakan apa-apa,” kata saksi kedua pada inkues yang diadakan di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya Hamdan Hamzah bertanya Elliza apa yang beliau lakukan ketika perusuh mula membaling batu ke arah kenderaan. 

Elliza berkata, beliau menyedari kenderaan EMRS berada di di belakang trak dan mengundurkan trak ke arahnya ketika kekecohan itu.

Seorang lagi saksi Ahmad Shahril Othman berada dalam kenderaan EMRS bersama Muhammad Adib ketika mereka didakwa diserang perusuh.  – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 11 Februari, 2019 

Peguam keluarga Adib, Yahya Othman kemudian bertanya kepada Elliza sekiranya beliau nampak Adib ketika mengundurkan trak bomba. Elliza menjawab “tidak”.

Adib dan seorang lagi pembantu perubatan Ahmad Shahril Othman berada dalam kenderaan EMRS itu ketika mereka didakwa diserang oleh perusuh. 

Saksi ketiga, Shahril berkata, ketika kekecohan itu trak berkenaan mengundur dan merempuh kenderaan EMRS. Trak berkenaan turut menolak kenderaan EMRS itu ke belakang. 

Beliau berkata, kumpulan perusuh kemudiannya datang ke sebelah kanan kenderaan EMRS dengan membawa topi keledar. 

“Adib berada dalam kenderaan ketika itu. Satu tangannya memegang papan pemuka dan satu lagi di tempat duduk. Beliau memandang ke depan (kepada kekecohan).”

Prosiding bersambung esok. – 11 Februari, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen