Projek sekolah baharu sudah lama lulus sebelum pilihan raya kecil, kata Maszlee


Christopher Rabin

Menteri Pendidikan Maszlee Malik ketika mengadakan lawatan ke tapak projek pembinaan sekolah baharu di Taman Pelangi, Semenyih hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 11 Februari, 2019

PEMBINAAN sekolah rendah baharu di Semenyih diputuskan sebelum pilihan raya kecil bagi kerusi negeri itu, kata Maszlee Malik sekaligus menolak kritikan yang mengatakan ia diluluskan bagi meraih sokongan pengundi.

Menteri pendidikan itu berkata, projek berkenaan diluluskan pada Oktober tahun lalu dan kerja pembinaan dijalankan sejurus selepas itu.

“Ada yang mengatakan ini adalah kerana pilihan raya kecil, tetapi bukan kerana kita luluskan projek ini pada tahun lepas. Ia tertangguh selama enam tahun, namun kita luluskan sebaik sahaja mengambil alih kerajaan,” kata Maszlee ketika mengadakan lawatan ke Taman Pelangi hari ini.

Beliau berkata penduduk Taman Pelangi sudah berkempen untuk pembinaan sekolah itu sejak enam tahun lalu kerana anak-anak mereka terpaksa berulang laik jauh ke sekolah setiap hari.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada persatuan penduduk yang memohon projek ini sejak 2012. Mereka meminta kami menyiapkan projek dan kami luluskan pada Oktober yang merupakan antara projek sekolah yang tertangguh.

“Mereka sebelum ini terpaksa ke Bandar Rinching dan Tasek Kesuma yang agak jauh dari sini. Ini akan memudahkan pelajar di Taman Pelangi,” katanya.

Projek pembinaan sekolah berkenaan menelan belanja sebanyak RM20.7 juta dan mampu menempatkan kira-kira 700 pelajar dengan 24 bilik darjah.

Ia dijangka siap pada Oktober 2020.

“Saya maklumkan kepada kontraktor kiat tidak mahu lagi sebarang penangguhan atau projek ini terbengkala. Kami mahu projek ini disiapkan, kalau boleh sebelum tarikh yang ditetapkan,” katanya.

Maszlee berkata, di bawah Rancangan Malaysia ke 11, penduduk Selangor akan mendapat faedah daripada RM67.58 juta peruntukan pendidikan.

Katanya, selain sekolah baharu di Bangi  – SMK Bukit Mahkota (RM63 juta) – kemudahan tambahan turut diberikan di tiga buah sekolah di negeri itu.

Beliau berkata, enam bilik darjah baharu sedang dibina untuk pelajar keperluan khas di SMK Bagan Terap di Sabak Bernam (RM3 juta), dan kerja penambahbaikan untuk dua kelas prasekolah juga sedang dijalankan di SK Kebun Baharu di Telok Panglima Garang (RM1.4 juta) dan satu kelas prasekolah di SJK (T) West Country Timur di Bangi (RM180,000).

Sementara tu, dalam perkembangan lain, Maszlee berkata mereka yang merancang untuk mendaftar bagi kursus perngkat ijazah atau sijil dalam talian perlu menyemak dengan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) bagi memastikan kursus itu diakreditasi.

“Bagi mereka yang ingin melanjutkan pengajian, rujuk kepada MQA agar tidak ditipu,” katanya.

Sebelum ini, kelayaka akademik Timbalan Menteri Luar Marzuki Yahya menjadi tumpuan selepas seorang pengguna Facebook mendakwa beliau tidak mendapat Ijazah Pentadbiran Perniagaan dari University of Cambridge.

Menteri terbabit kemudian menjawab kritikan berhubung kelayakan akademiknya sehari selepas itu dan menyatakan ijazahnya itu sebenarnya adalah daripada Cambridge International University di Amerika Syarikat, yang turut dikritik kerana ia meragukan. – 11 Februari, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen