China masih rakan dagangan Malaysia, kata pemerhati


Khoo Gek San

Presiden China Xi Jinping berucap pada Forum Belt and Road Forum di Beijing pada Mei 2017. Inisiatif Belt and Road melibatkan projek infrastruktur bernilai berbilion dolar yang menghubungkan China, Asia, Afrika dan Eropah. – Gambar fail EPA, 11 Februari, 2019.

MALAYSIA mungkin menyambung semula projek China di bawah inisiatif One Belt, One Road dalam tempoh setahun atau dua tahun lagi selepas mengambil keputusan untuk mengkaji semula projek-projek mega dari republik itu, kata pemerhati.

Kerajaan baharu di bawah Pakatan Harapan memutuskan untuk mengkaji semula projek dari China itu selepas beberapa negara mengambil langkah yang sama ekoran kebimbangan kebimbangan terperangkap dengan hutang yang besar

Kumpulan pemerhati hubungan Sino-Malaysia Anbound Research Centre (Malaysia)  berkata Malaysia bukan satu-satunya negara yang menghadapi masalah dengan projek di bawah inisiatif tersebut yang turut dikenali sebagai Belt and Road.

Pakistan dan Myanmar mengkaji semula kos projek di bawah China manakala kerajaan Sri Lanka telah menyerahkan pengurusan Pelabuhan Hambantota kepada Beijing selepas gagal membayar hutang projek dengan republik itu.

Fung Vun Ket dari Anbound Research Centre (Malaysia) berkata di Pakistan dan Myanmar, projek Belt and Road akan disambung semula dalam tempoh dua tahun, dan begitu juga dengan projek-projek yang ditangguhkan di Malaysia.

Projek China di Malaysia yang tertangguh termasuk pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan laluan paip gas serta minyak di Sabah dan Melaka.

Persepsi orang ramai di negara-negara lain lebih kepada kebimbangan bahawa projek-projek itu lebih memberi manfaat kepada China berbanding penduduk tempatan.

Fung bagaimanapun berkata projek ECRL tidak wajar dibatalkan sepenuhnya kerana kos projek itu masih boleh dirunding.

“Kita tidak mempunyai wang ketika ini, (jadi) kita perlu mengkaji semula kos tetapi mengekalkan pelan asal projek itu. Adalah tidak realistik mengatakan bahawa kos akan berkurangan kerana kewujudan teknologi baharu pada masa depan, sedangkan kos juga boleh meningkat.

“Kos politikal (ECRL) yang tinggi sebenarnya, jadi kita perlu menilai semula dari sudut politik projek itu dan meneruskannya,” kata Fung.

Anbound Research merupakan perunding yang beribu pejabat di Beijing dan berperanan memberi nasihat kepada agensi kerajaan dan syarikat dari China dan Malaysia.

Sementara itu Timbalan Presiden Dewan Perdagangan Malaysia-China (MCCC)  Joseph Lim berkata pihaknya masih menilai projek ECRL sebagai satu keperluan.

“Hanya kos projek itu yang perlu dirunding semula. Menteri kewangan juga berkata rundingan ECRL masih berlangsung dan tidak akan dihentikan sepenuhnya. 

“Projek itu akan mengimbangi pembangunan di persisiran pantai barat dan timur Semenanjung Malaysia,” kata Lim sambil menambah 25% kerja pembinaan ECRL sudah dijalankan sebelum penangguhan dibuat. – 11 Februari, 2019.

Berita penuh di sini.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen