Anwar tidak keberatan PKR adakan kongres khas, tetapi…


ANWAR Ibrahim tiada masalah sekiranya PKR mahu mengadakan kongres khas bagi membincangkan kerjasama dengan PAS menuju Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), namun mempersoalkan apa perlunya kongres itu.

Penasihat PKR itu bertanya apa perlunya kongres itu diadakan atas dua alasan: pertama, ia tidak melibatkan soal perubahan dasar parti, dan kedua, PRU14 sudah dekat sementara keputusan mesti dibuat cepat.

“Secara peribadi, memahami semangat demokrasi (PKR), saya tidak keberatan jika ingin dikendali kongres khas. Kemusykilan saya adalah keperluannya memandangkan tiada perubahan dasar yang berlaku.

“Malah dengan kemungkinan PRU14 diadakan dalam tempoh terdekat, segala keputusan perlu dimuktamadkan segera,” kata penasihat PKR itu dalam satu kenyataan media, hari ini.

Anwar sebaliknya meminta ahli-ahli parti memberi ruang kepada presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail dan pimpinan lain untuk “memberi penjelasan dan menentukan dasar dan arah selanjutnya” selaras dengan pendirian PKR dan persetujuan yang dibuat dalam Pakatan Harapan (PH).

“Semua tindakan seterusnya harus diadakan menurut saluran parti,” kata Anwar.

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli baru-baru ini mendesak parti itu mengadakan kongres khas bagi menentukan kerjasama dengan PAS menuju PRU14. 

Gesaannya itu mendapat sokongan segelintir akar umbi PKR yang menggelar diri sebagai Jawatankuasa Bertindak Harapan Pakatan, yang berusaha mengumpulkan dukungan satu pertiga cabang parti untuk memaksa setiausaha agung mengadakan kongres berkenaan.

PKR pada masa yang sama mencapai sepakat dengan parti-parti lain dalam PH untuk menutup pintu kerjasama dengan PAS sebaliknya fokus mempersiapkan parti berdepan dengan kemungkinan yang pasti pertembungan tiga penjuru dalam PRU14 nanti.

Anwar berkata beliau “tidak meremehkan” pandangan yang disuarakan oleh semua ahli dan pimpinan PKR berhubung isu kerjasama dengan PAS itu.

Ini kerana, katanya memang ada persepsi PAS mungkin akan bekerjasama dengan Umno biarpun ura-ura itu dibantah keras oleh timbalan presiden parti Islam itu, Tuan Ibrahim Tuan Man.

Keduanya, rundingan yang panjang dan tanpa keputusan yang jelas boleh menjejaskan usaha PKR memperkemaskan jentera pilihan rayanya, “malah berisiko tinggi seandainya ada kejutan”, kata Anwar.

Untuk itu, Anwar menggesa PKR supaya “bergerak pantas sebagai satu pasukan padu, menyemarakkan gema reformasi dan agenda perjuangan rakyat”. – 2 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen