PBB gesa Myanmar henti kekerasan di Rakhine


Penduduk Rakhine yang ketakutan cuba melarikan diri tetapi pintu sempadan Bangladesh ditutup menyebabkan ramai pelarian kebanyakkannya wanita dan kanak-kanak terperangkap antara kawasan sempadan Myanmar-Bangladesh. – Gambar AFP, 2 September, 2017.

SETIAUSAHA Agung PBB, Antonio Guterres pada Jumaat menyuarakan kebimbangan mengenai laporan kekerasan semasa operasi dijalankan oleh pasukan keselamatan Myanmar di Rakhine dan menggesa sekatan bagi mengelakkan bencana kemanusiaan, agensi berita Xinhua melaporkan.

Tindakan keras Myanmar berlaku minggu lalu selepas serangan terhadap pasukan keselamatan Myanmar oleh Rohingya, etnik minoriti Islam yang tinggal di pantai barat negara Buddha itu.

“Setiausaha agung menggesa kerajaan Myanmar bertanggungjawab memberikan jaminan keselamatan dan bantuan kepada semua yang memerlukan dan untuk membolehkan Bangsa-Bangsa Bersatu dan rakan sekutu menyampaikan sokongan kemanusiaan yang mereka bersedia berikan,” kata kenyataan yang dikeluarkan jurucakap bersekutu Guterres, Eri Kaneko.

Beliau juga menggesa kerajaan Myanmar melaksanakan cadangan laporan oleh bekas setiausaha agung PBB Kofi Anna, yang memberi amaran tentang bahaya keganasan antara kaum di Rakhine sebelum serangan 25 Ogos.

“Situasi semasa mendesak keperluan mencari pendekatan holistik untuk menangani punca keganasan yang kompleks,” kata Guterres.

Dalam pernyataan terdahulu, beliau menyebut isu kewarganegaraan bagi Rohingya. Kerajaan Myanmar menganggap Rohingya sebagai pendatang tanpa izin dari negara jiran Bangladesh.

Guterres menghargai usaha pihak berkuasa dan komuniti Bangladesh membantu pelarian Rohinya dari Myanmar. Beliau menggalakkan kerajaan Bangladesh memastikan pelarian mempunyai akses kepada bantuan PBB. – Bernama, 2 September, 2017.

Galeri: Masyarakat Rohingya di Klang raikan Aidiladha penuh syukur.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen