LHDN akan ambil tindakan terhadap pegawai tidak profesional 


Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata,piahknya meneriam aduan terdapat pegawai LHDN yang menjalankan tugas secara tidak profesional, mengugut pembayar cukai dan tidak mematuhi prosedur kerja yang ditetapkan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Februari, 2019

TINDAKAN tegas akan diambil terhadap pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang mengugut pembayar cukai dan menjalankan tugas mereka dengan tidak profesional, kata Lim Guan Eng.

Dalam satu kenyataan hari ini, menteri kewangan itu berkata beliau secara peribadi telah mengarahkan LHDN mengambil tindakan terhadap pegawai baharu di jabatan itu yang mengambil kesempatan terhadap Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS).

“Kami menerima aduan berhubung beberapa pegawai baharu di LHDN yang mengambil kesempatan melalui program PKPS dengan menjalankan tugas secara tidak profesional, mengugut pembayar cukai dan tidak mematuhi prosedur kerja yang ditetapkan,” kata Lim.

Beliau berkata tidak ada perubahan dalam sistem dan kuantum cukai yang dikenakan untuk pembayar cukai di Malaysia.

“Satu-satunya perubahan yang dibuat adalah menghentikan serbuan di rumah pembayar cukai pada tengah malam oleh pegawai bersenjata dan bertopeng seperti yang dilakukan sebelum ini (operasi Pasukan Penguatkuasaan Pemulihan Hasil Negara).”

“Selain daripada itu tiada sebarang perubahan,” katanya.

Menteri kewangan itu berkata, e-mel atau surat baharu akan dihantar oleh LHDN bagi menggantikan notifikasi PKPS sebelum ini untuk mengelakkan salah faham.

Lim berkata kementerian telah menerima banyak pertanyaan daripada individu berhubung surat dan emel daripada LHDN berkaitan PKPS.

“PKPS merupakan inisiatif cukai oleh LHDN yang dibuat bagi membantu mereka yang membuka akaun bank luar negara dengan pendapatan dari Malaysia tetapi pendapatan itu tidak pernah dilapor atau dikenakan cukai.”

“Mereka yang menerima surat atau e-mel dari LHDN tidak perlu merasa bimbang sekiranya mereka tidak memiliki akaun bank luar negara.”

“Pembayar cukai yang memiliki akaun bank luar negara boleh secara sukarela mengisytiharkan pendaatan yang dimasukkan ke akaun bank luar negara.

“Pembayar cukai dengan akaun bank luar negara secara sukarela boleh mengisytiharkan pendapatan yang didepositkan di akaun bank luar negara yang sumbernya diperoleh daripada pendapatan yang diterima dari Malaysia tetapi masih belum dilaporkan atau dikenakan cukai,” jelas Lim. – 10 Februari, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen