PADA Mac tahun lepas, kerajaan Sarawak membentuk syarikat minyak dan gasnya sendiri, Petroleum Sarawak Berhad (Petros), untuk bersama-sama syarikat minyak negara, Petronas, meneroka sumber berharga negeri itu.
Ketika masih ramai penduduk Sarawak tertanya-tanya apakah peranan dan bagaimana Petros boleh bersama-sama Petronas- yang mereka percaya ada monopoli penuh ke atas sumber mewah itu- dilaporkan yang mereka yang duduk di Menara Berkembar dan Putrajaya gusar dengan hasrat kerajaan Sarawak.
Empat bulan kemudian, Sarawak meminda Ordinan Perlombongan Minyak (OMO) yang sudah lapuk itu, seperti kata Timbalan Ketua Menteri Awang Tengah Ali ketika membentangkan pindaan itu: mengukuhkan kawalan seliaan negeri ke atas penerokaan dan prospek untuk petroleum dan perlombongan tanah di negeri.”
Pindaan OMO itu menghapuskan kuasa seliaan Petronas di Sarawak, kuasa itu diserahkan kepada Petros.
Pada awal tahun ini, Sarawak mengenakan 5% cukai jualan ke atas semua produk petroleum dieksport dari negeri sebagai salah satu sumber perolehan baharu untuk membiayai agenda pembangunan negeri.
Cukai itu akan dikenakan ke atas minyak mentah, gas asli, gas asli cecair, baja berasaskan kimia dan produk gas-kepada-cecari. Dianggarkan RM3.897 bilion boleh dikutip daripada cukai itu.
Ditanya jika tindakan itu direka untuk mengurangkan kuasa pengurusan dimiliki Putrajaya dan Petronas ke atas sumber minyak dan gas negeri, Timbalan Ketua Menteri James Masing menjawab: “Putrajaya pernah memperdaya kita untuk menyerahkan pemilikan minyak dan gas Sarawak”.
Malah, beliau turut mengulangi kata-katanya ketika pelancaran Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada 19 Januari lalu- “ Awak bodohkan saya sekali, awak yang salah. Awak bodohkan saya kali kedua, saya yang salah.”
“OMO memberikan kita pemilikan minyak dan gas. Kerana itu, tuntutan kita untuk minyak dan gas bukanlah tarikan (politik) menjelang pilihan raya negeri 2021.”
Masing berkata Sarawak sudah banyak belajar kerana hilang kawalan sumber itu.
“Ia adalah proses belajar daripada pengalaman. Kami tidak akan diperdaya kali kedua oleh Putrajaya.
“Negara berperang kerana tuntutan sumber mewah ini,” katanya. – 10 Februari, 2019.
Komen