Kes beg udara Takata, Honda bayar ganti rugi RM2.5 bilion


Honda menjadi pengeluar kenderaan utama dunia keenam selepas Toyota Motor Corp, Subaru Corp, BMW AG (BMWG.DE), Mazda Motor Corp dan Nissan Motor Co membayar ganti rugi akibat kegagalan fungsi inflator beg udara Takata. – Gambar EPA, 2 September, 2017.

HONDA Motor Corp bersetuju membayar penyelesaian tuntutan sebanyak AS$605 (RM2.5 bilion) atau ganti rugi ekonomi pada Jumaat bagi 16.5 juta kenderaan di AS yang berkemungkinan mengalami kerosakan inflator beg udara Takata, sebagaimana dilaporkan Reuters.

Ini menjadikan ia pengeluar kenderaan utama dunia keenam yang mengambil langkah sama selepas Toyota Motor Corp, Subaru Corp, BMW AG (BMWG.DE), Mazda Motor Corp dan Nissan Motor Co dengan total AS$650 secara keseluruhannya.

Sekurang-kurangnya 18 kematian dan 180 kecederaan di seluruh dunia termasuk tiga kes di Malaysia yang dikaitkan dengan masalah inflator itu.

Takata menggunakan nitrat ammonium untuk menghasilkan letupan kecil bagi membolehkan beg udara menggelembung dengan cepat.

Tetapi bahan kimia berkenaan menjadi tidak stabil apabila terdedah kepada lembapan, menyebabkannya terbakar terlalu cepat serta memecahkan kelongsong logam yang direka untuk menyimpan kimia itu.

Penyelesaian dibuat Honda itu merangkumi beberapa bentuk ganti rugi ekonomi yang dikaitkan dengan inflator, termasuk dakwaan kenderaan tidak berada dalam keadaan selamat, dan pembeli terlebih membayar harga kereta dengan beg udara yang cacat atau substandard.

Ia juga termasuk kos luar, kehilangan gaji dan kos penjagaan kanak-kanak yang mungkin dihadapi pemilik Honda, atau telah alami, bagi memastikan kenderaan yang dilengkapi beg udara Takata dibaiki.

Ia menyebabkan Takata Corp memfailkan perlindungan muflis pada Jun. Inflator Takata boleh meletup dengan kuasa berlebihan, melepaskan serpihan logam di dalam kereta dan trak. Kesemua kematian kecuali satu kematian melibatkan kenderaan Honda.

Setakat ini, 19 pembuat kenderaan sudah memanggil semula lebih 42 juta kenderaan yang disifatkan sebagai penarikan semula kenderaan atas faktor keselamatan terbesar dalam sejarah automotif. Takata menjangkakan 125 juta kenderaan di seluruh dunia ditarik balik kerana kegagalan fungsi inflator itu.

Honda berkata penyelesaian itu melibatkan 11.4 juta kenderaan yang kini sedang dipanggil semula dan 5.1 juta lebih kenderaan yang mungkin dipanggil semula kemudian.

Bulan lalu, Nissan Motor Co bersetuju membayar AS$97.7 juta bagi penyelesaian yang sama menerusi penarikan semula sebanyak 4.4 juta kenderaan.

Pada Jun, hakim persekutuan di Miami memberikan kelulusan awal bagi penyelesaian ganti rugi  kepada Toyota Motor Corp, Subaru Corp, BMW AG (BMWG.DE) dan Mazda Motor Corp berjumlah AS$553 juta dan melibatkan 15.8 juta kenderaan dengan inflator Takata. – 2 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen