PERTEMBUNGAN di antara ketua-ketua bahagian Umno Selangor yang berlarutan menyebabkan pergerakan itu sehingga kini masih belum dapat melantik pengerusi baharu.
Ada kumpulan yang mahu bekas perdana menteri Najib Razak dilantik semua ke jawatan itu dan ada juga yang berkenan agar bekas menteri besar Mohamad Khir Toyo mengetuai Umno negeri.
Selain itu, terdapat juga kumpulan mencadangkan ketua Umno bahagian Gombak, Megat Zulkarnain Omar Din mengetuai Umno Selangor.
Nama-nama itu antara yang disebut untuk menggantikan Ismail Sabri Yaakob di jawatan tersebut, kata beberapa sumber parti yang menjangka ia akan diputuskan selepas pilihan raya kecil (PRK) DUN Semenyih.
“Ketua-ketua bahagian Umno sedang melobi untuk mendapatkan sokongan terhadap calon masing-masing.
“Ada bawa nama Najib, ada Khir Toyo dengan Megat. Tengoklah nanti lepas PRK Semenyih nanti,” kata sumber kepada The Malaysian Insight.
Seorang lagi sumber yang hadir dalam mesyuarat Umno Selangor minggu lalu berkata Khir Toyo mempunyai sokongan majoriti ketua bahagian bahagian berbanding calon lain.
“Khir Toyo mempunyai kekuatan dari segi pengaruh dan juga kewangan. Beliau juga boleh memimpin.
“Beliau juga telah dihukum dengan kes dia dahulu. Dia sudah bersih dari kisah lama,” katanya.

Bagaimanapun beberapa ketua bahagia yang membantah cadangan itu berpendapat, pengerusi Umno negeri perlu dilantik daripada kalangan ketua bahagian sedia ada.
“Hanya ada seorang sahaja yang membantah keras namun ketua-ketua bahagian lain cuma merasakan kalau boleh dilantik di kalangan daripada mereka, itu sahaja,” ujarnya.
Tambah sumber lagi, Naib Presiden parti Ismail Sabri yang dilantik mengetuai Umno Selangor mahu lagi menjalankan tugas tersebut kerana perlu menggalas tugas-tugas timbalan presiden.
The Malaysian Insight difahamkan Najib yang pernah menjadi pengerusi Umno Selangor pada tahun 2009 telah menolak tawaran tersebut.
Ismail yang merupakan naib presiden Umno dilantik untuk menerajui Umno negeri itu Julai tahun lalu bagi membolehkan parti menyusun struktur pentadbiran Umno negeri.
Ia ekoran kegagalan Umno Selangor mencari penyelesaian berhubung isu kepemimpinan yang kini berlarutan selepas pemimpihan parti Jun tahun lalu.
Umno Selangor masih gagal melantik pengerusi badan perhubungan negeri yang baharu sehingga kini, selepas kemunculan ramai muka baharu dalam pemilihan parti Jun lalu.
Dalam pemilihan itu, 11 daripada 22 jawatan ketua bahagian dimenangi oleh muka-muka baharu.
Susulan pemilihan itu, perkara yang sama berlaku di Perlis, yang seterusnya diketuai Khaled Nordin dan juga di Terengganu, yang kemudiannya diketuai Mahdzir Khalid, naib presiden parti.
Pada 11 Januari lalu bekas menteri besar Terengganu, Ahmad Said akhirnya dilantik mengetuai parti di negeri itu dengan persetujuan bersama kesemua lapan ketua bahagian. – 10 Februari, 2019.
Komen