SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang bekas Ahli Parlimen bergelar Datuk di Johor berhubung dua kes suapan duit dan sebidang tanah bernilai kira-kira RM230,000, hari ini.
Menurut sumber, lelaki berusia 56 tahun itu yang juga bekas ahli lembaga pengarah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) ditahan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya kira-kira pukul 12.40 tengahari hari ini dan akan didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru esok.
Difahamkan, bekas ahli Parlimen berkenaan telah menggunakan jawatannya sebagai ahli lembaga pengarah Felda dengan mengambil tindakan mengesyorkan dan meluluskan pelantikan sebuah syarikat pencetakan yang disyaki beliau mempunyai kepentingan bagi kerja penerbitan Akhbar 1Suara di Felda daripada tahun 2012 hingga 2015 yang dianggarkan bernilai lebih RM13 juta.
Sebagai balasan, pada tahun 2013, beliau telah menerima suapan wang ringgit bernilai RM50,000 pada dan pada 2014, beliau telah menerima sebidang tanah di Mukim Kota Tinggi, Johor bernilai kira-kira RM180,000.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan beliau akan menghadapi dua pertuduhan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan. – 9 Februari, 2019
Komen