Mahkamah batal keputusan pilihan raya presiden Kenya


Mahkamah juga mendapati suruhanjaya pilihan raya “telah gagal, cuai dan enggan menjalankan pilihan raya presiden dengan cara yang sejajar seperti yang termaktub dalam perlembagaan.” – Gambar EPA, 1 September, 2017.

Mahkamah Agung Kenya membatalkan keputusan pilihan raya presiden bulan lalu selepas ia membenarkan petisyen yang difailkan oleh pembangkang dan mengarahkan pemilihan semula diadakan dalam masa 60 hari.

Keputusan mahkamah yang membatalkan kemenangan Presiden Uhuru Kenyatta untuk penggal kedua itu disambut dengan sorak sorai gembira di luar mahkamah dan di kubu kuat pembangkang.

Pemimpin pembangkang, Raila Odinga, 72, menyifatkan keputusan itu “bersejarah” kerana katanya inilah kali pertama mahkamah di Afrika memihak kepada pembangkang.

Keputusan mahkamah panel tujuh hakim, dengan dua menentang, itu mendapati Kenyatta “tidak dipilih dengan sah”, menjadikan keputusan pilihan raya itu “terbatal dan tidak sah”.

Mahkamah juga mendapati suruhanjaya pilihan raya “telah gagal, cuai dan enggan menjalankan pilihan raya presiden dengan cara yang sejajar seperti yang termaktub dalam perlembagaan.”

Sementara itu, peguam Kenyatta mengkritik keputusan mahkamah dan menyifatkannya “bersifat politik” namun berkata pihaknya menerima keputusan itu. –  Agensi, 1 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen