SARAWAK memulakan usaha sekali lagi untuk meletakkan tapak arkeologi terkemuka negeri itu, Gua Niah, dalam senarai warisan dunia Unesco.
Pada 1958, sepasang pakar arkeologi, Tom dan Barbara Harrison menemui tengkorak spesies homo sapien dalam gua yang terletak 73km dari bandar Miri itu. Penyelidik dari Australia itu menyatakan berdasarkan kajian mereka, gua tersebut mungkin menjadi tempat tinggal manusia sejak 65,000 tahun lalu.
Cubaan pertama memasuki senarai Unesco dilakukan pada 2010.
Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan dan Belia Sarawak Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, usaha sedang dilakukan bagi memenuhi syarat penyenaraian dan Gua Niah boleh dimasukkan dalam senarai Unesco dalam tempoh lima tahun lagi.
Salah satu syaratnya, kata Karim, adalah tambah baik pintu masuk gua, satu lagi syarat adalah penutupan sebuah kuari terletak berhampiran gua.
“Melombong dalam kawasan berhampiran gua boleh jejaskan pengiktirafan,” katanya pada majlis pelancaran program “Night at the Museum” di Kuching malam tadi.
Karim menambah yang Ketua Menteri Abang Johari Openg sudah mengarahkan beliau untuk menyiapkan kertas kerja untuk dibentangkan di Kabinet berkenaan usaha itu.
Katanya lagi, ini menunjukkan komitmen kerajaan Sarawak untuk menjadikan Gua Niah sebagai tapak warisan dunia dan tumpuan utama pelancong.
Kerajaan negeri juga sudah meminta universiti dan pusat kajan kerajaan di AS untuk memulangkan semula semua rangka manusia yang mereka bawa keluar dari Gua Niah untuk kajian.
Menurut Karim, terdapat “lebih 100 rangka manusia” Gua Niah berada di AS pada masa sekarang.
“Sekarang, kajian sudah habis, ia perlu dipulangkan.”
“Kami sedang ubah Niah menjadi tapak bersejarah, benda yang dibawa keluar perlu diletakkan balik.”
Menurutnya, pihak terlibat sudah bersetuju untuk memulangkan kembali rangka tersebut: “Kita hanya perlu bayar kos penghantaran ke Sarawak.”
Rangka tersebut besar kemungkinan akan dipulangkan pada hujung tahun ini, beberapa daripadanya akan ditayangkan kepada umum, selebihnya akan disimpan, katanya lagi. – 9 Februari, 2019.
Komen