BEKAS pengerusi Bersih 2.0 Ambiga Sreenevasan merupakan saksi utama dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung RM90 juta yang didakwa diberikan kepada PAS oleh Umno.
Sumber SPRM memberitahu, Ambiga dipanggil ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya, yang mana beliau berada di sana lebih satu jam untuk memberi keterangan.
Kenyataan peguam itu penting kerana beliau dinamakan oleh editor Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown sebagai sumber bagi artikel yang disiarkan pada 2016 mendakwa pemindahan wang berkenaan kepada pemimpin PAS sebagai pertukaran untuk sokongan terhadap Barisan Nasional dan bekas perdana menteri Najib Razak.
“Kami akan memanggil beberapa individu lain seperti yang disebut dalam artikel itu,” kata sumber terbabit.
Rewcastle-Brown mendedahkan Ambiga sebagai sumber dalam hujah balas dalam saman fitnah yang difailkan oleh Presiden PAS, Abdul Hadi Awang pada Oktober 2017 berhubung artikel berkenaan.
Selain Ambiga, SPRM telah merekodkan kenyataan daripada bekas naib presiden PAS Nasharudin Mat Isa dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.
Nasharudin berkata, beliau telah menyerahkan dokumen dan penyata kewangan kepada agensi terbabit.
“Saya harap SPRM akan menjalankan siasatan terhadap semua piha terlibat, sebagai contoh, mereka yang mendakwa memiliki bukti. Saya harap mereka tampil dan bantu SPRM.
“Saya juga berterima kasih kepada SPRM kerana bertindak pantas terhadap laporan polis yang dibuat berhubung kontroversi RM90 juta.”
Agensi pencegahan rasuah itu menjalankan siasatan berhubng bayaran RM90 juta, yang dikatakan dana daripada 1Malaysia Development Berhad, selepas polis menerima laporan susulan tindakan Hadi untuk menyelesaikan saman terhadap Rewcastle-Brown dan laman web pemberi maklumat itu.
Awal minggu ini, Sarawak Report menyiarkan artikel mendakwa peguam Hadi mengakui Nik Abduh mengambil wang daripada Umno. – 8 Februari, 2019
Komen