Nasharudin serah bukti kewangan bantu siasatan SPRM RM90 juta PAS


Bekas timbalan presiden PAS itu turut menyerahkan maklumat kewangan peribadi serta beberapa penyata bank lain yang diminta termasuk akaun kewangan Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) yang beliau merupakan pengerusi eksekutif. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Februari, 2019.

DR Nasharudin Mat Isa tampil menyerahkan beberapa dokumen dan penyata kewangan bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan pemimpin PAS menerima dana RM90 juta dikatakan daripada 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Bekas timbalan presiden PAS itu turut menyerahkan maklumat kewangan peribadi serta beberapa penyata bank lain yang diminta termasuk akaun kewangan Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) yang beliau merupakan pengerusi eksekutif.

Bercakap kepada pemberita selepas memberikan keterangan lebih empat jam di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya,  Nasharudin berkata beliau amat berpuas hati dan berterima kasih kepada suruhanjaya itu kerana memberi peluang kepadanya untuk membuat penjelasan dan menyerahkan semua bukti yang diperlukan.

Beliau berkata sesi temu bual itu digunakan bagi menjelaskan hal berkenaan sumber kewangan dan bagaimana ia dibelanjakan, yang kesemuanya terkandung di dalam penyata kewangan yang diserahkan.

“Saya harap SPRM diberikan ruang seluasnya untuk membuat siasatan dan kepada mana-mana pihak, contohnya yang mendakwa ada bukti dan sebagainya diharap dapat membawa bukti tersebut ke depan untuk membantu SPRM.

“Saya juga berterima kasih kepada SPRM kerana cepat bertindak susulan laporan polis yang dibuat baru-baru ini berhubung kontroversi dana RM90 juta itu,” katanya.

Ditanya berhubung status dana RM90 juta tersebut, Nasharudin berkata beliau menyerahkan kepada kebijaksanaan SPRM untuk menyiasat dan membuat kenyataan bagi menjelaskan berkenaan perkara itu.

Beliau akan menyambung keterangan pada 3.30 petang di SPRM bagi memperincikan beberapa perkara yang tertangguh, untuk menunaikan solat Jumaat.

Kehadiran bekas Ahli Parlimen Bachok itu pada 8.40 pagi tidak disedari pengamal media yang menunggu sejak awal sehingga disahkan oleh jurucakap SPRM.

Selain Nasharudin, Naib Presiden Amanah Husam Musa dilaporkan turut akan dipanggil hari ini, bagi dirakam keterangan berhubung isu sama.

Husam yang dihubungi bagaimanapun berkata beliau kini berada di Kelantan dan tidak dimaklumkan untuk hadir memberi keterangan oleh SPRM.

Husam yang juga bekas naib presiden PAS pernah mendakwa beliau mempunyai butiran berkaitan dana RM90 juta yang didakwa ada kaitan dengan PAS.

Mereka ialah antara empat individu yang dilapor disenarai awal oleh SPRM sebagai saksi penting bagi membantu siasatan berhubung dakwaan pemimpin PAS menerima RM90 juta dikatakan daripada 1MDB.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz pula hadir di ibu pejabat SPRM Kelantan hari ini bagi memberi keterangan berhubung siasatan tersebut.

Sebelum ini, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Azam Baki mengesahkan siasatan dimulakan mengikut bidang kuasa SPRM susulan laporan polis dibuat orang awam yang kemudian dirujuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) kepada suruhanjaya berkenaan.

Isu PAS menerima wang daripada Umno timbul semula apabila Presiden PAS  Hadi Awang pada 1 Februari lepas, membuat keputusan memuktamadkan penyelesaian di luar mahkamah dengan menarik balik tuntutan terhadap Editor Sarawak Report (SR), Clare Rewcastle Brown, berhubung artikel mengandungi tuduhan terbabit. – Bernama, 8 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen