SPRM panggil pemimpin PAS berhubung dakwaan terima RM90 juta


Kalidevi Mogan Kumarappa

Nik Abduh antara empat saksi penting kes wang RM90 juta didakwa diterima PAS. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Februari, 2019.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memanggil Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz untuk memberi keterangan kepada penyiasat anti rasuah hari ini bersama dua bekas pemimpin parti itu, Nasharudin Mat Isa dan Husam Musa

The Malaysian Insight difahamkan, mereka antara empat saksi penting SPRM dalam siasatan kes wang RM90 juta didakwa diterima pemimpin PAS.

Siasatan itu berhubung dakwaan wang berkenaan disalurkan dari 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melalui Umno.

Sumber berkata, Nik Mohamad Abduh dijadualkan memberi keterangan di Pejabat SPRM Kelantan, manakala Husam dan Nasharudin di ibu pejabat suruhanjaya itu di Putrajaya, pagi ini.

Husam yang kini naib presiden Amanah pernah mengeluarkan kenyataan berhubung dana RM90 juta yang didakwa ada kaitan dengan PAS.

Nasharudin tidak memegang apa-apa jawatan dalam PAS selepas gagal mempertahankan jawatan timbalan presiden parti dalam pemilihan pada 2011.

Menurut sumber, keterangan tiga individu tersebut adalah siasatan peringkat pertama SPRM sebelum meneruskan dengan keterangan pihak lain.

Siasatan itu dimulakan susulan laporan polis oleh orang awam selepas Presiden Pas Abdul Hadi Awang menarik balik saman ke atas editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown berhubung tuduhan berkenaan.

Kedua-duanya menyelesaikan saman tersebut di luar mahkamah London pada minggu lalu namun artikel 6 Ogos 2016 berhubung tuduhan PAS menerima wang itu kekal di portal Sarawak Report.

Artikel lapan perenggan itu mendakwa RM90 juta dimasukkan ke dalam akaun pimpinan tertinggi PAS bagi mempengaruhi parti tersebut supaya menyokong Umno dan Barisan Nasional.

Awal minggu ini, Sarawak Report menyiarkan satu lagi tulisan mendakwa peguam Hadi mengakui Nik Abduh sememangnya menerima wang dari Umno. – 8 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen