MCA boleh bekerjasama, tetapi tak bentuk pakatan


Andrew Chin

Presiden MCA Wee Ka Siong berkata dalam landskap politik sekarang, kerjasama antara parti merentak pakatan rasmi boleh jadi kebiasaan demi manfaat rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Februari, 2019.

MCA akan bekerjasama dengan mana-mana parti, baik pembangkang mahupun kerajaan, dalam isu yang mereka sepakati, tetapi tidak akan membentuk pakatan baharu, kata Presiden Wee Ka Siong.

Wee berkata dalam landskap politik baharu negara, parti pembangkang seperti MCA boleh bekerjasama dengan parti lain, tanpa mengira mereka daripada Pakatan Harapan atau Barisan Nasional dalam isu khusus yang melibatkan kepentingan rakyat.

MCA bersama-sama MIC masih lagi kekal bersama Umno membentuk BN.

Tetapi, isu membentuk sekutu dalam pakatan baharu adalah perkara lain, kata Wee yang mengambil alih teraju kepimpinan parti kaum Cina itu November lalu.

Ahli Parlimen Ayer Itam itu menambah yang pakatan antara parti hanya boleh terbentuk sekiranya mereka berkongsi pendirian yang sama.

“Saya pernah ditanya jika MCA dan Gerakan boleh bekerjasama.

“Saya kata ‘mengapa tidak?’.

“Persoalan paling besar adalah tentang apa dan bagaimana. Kita boleh bekerjasama tapi berdasarkan idea yang dikongsi bersama. Itulah kunci kepada mana-mana kerjasama.”

Katanya, perbezaan dan kesumat tidak bertahan lama dalam politik.

“Semua orang kawan sekarang,” katanya, menceritakan yang beliau dan Presiden Gerakan Dominic Lau sering bertukar pandangan sekiranya bertemu dalam majlis.

Apabila ditanya sekiranya MCA akan menyokong calon Umno pada Pilihan Raya Kecil Semenyih, Wee berkata selagi mana calon itu bukan daripada PH, mereka boleh duduk berbincang.

“Saya percaya itu pendekatan yang lebih praktikal.”

Ditanya mengenai pakatan politik yang wujud sekarang, Wee berkata parti dalam PH mempunyai perbezaan politik yang ketara tetapi masih boleh bekerjasama.

Beliau merujuk kepada kerajaan Selangor terdahulu apabila DAP dan PAS pernah berada dalam satu pihak yang sama membentuk kerajaan negeri.

“Jadi, kerjasama untuk matlamat bersama bukanlah sesuatu yang mengejutkan.

“Malah selepas PAS umumkan mereka keluar PH (Pakatan Rakyat sebelum ini), mereka terus kekal dalam kerajaan (Selangor), bekerjasama sehingga tamat mandat mereka.” – 9 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen