PAS gesa kemuka bukti terima RM90 juta daripada 1MDB


Kalidevi Mogan Kumarappa

Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan yakin tuduhan partinya menerima wang RM90 juta tidak benar dan fitnah semata-mata serta memberi jaminan ia akan memberi kerjasama penuh kepada SPRM. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Februari, 2019.

PAS mencabar mana-mana pihak menyalurkan bukti yang menunjukkan pemimpin parti Islam itu menerima wang RM90 juta daripada 1Malaysia Development Bhd (1MBD).

Setiausaha agungnya Takiyuddin Hassan berkata individu berkenaan perlu menamakan dengan terperinci pihak yang didakwa menerima wang tersebut kepada pihak berkuasa.

Beliau yakin tuduhan itu adalah “tidak benar, dusta dan fitnah semata-mata” dan memberi jaminan bahawa PAS akan memberi kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Katanya, PAS juga akan menyerahkan segala dokumen berkaitan jika diminta oleh SPRM bagi membantu siasatan berkenaan.

“Ini termasuk penyata akaun bank PAS Pusat bagi membuktikan dakwaan PAS menerima RM90 juta daripada 1MDB adalah tidak benar, dusta dan fitnah semata-mata,” katanya dalam kenyataan media.

Takiyuddin menyatakan parti itu yakin penuh dengan agensi anti rasuah itu sebagai entiti berintegriti untuk menjalankan tugas dan tanggungjawabnya secara profesional.

Katanya, PAS percaya SPRM akan mengamalkan ketelusan, sikap bermaruah tanpa bersikap pilih kasih.

Semalam, SPRM mengeluarkan kenyataan media bahawa akan memanggil beberapa individu bagi membantu siasatan berhubung dakwaan RM90 juta dimasukkan ke dalam akaun pemimpin PAS.

SPRM memulakan siasatan itu susulan aduan orang awam kepada polis.

Ia ekoran tindakan presiden parti Islam itu, Abdul Hadi Awang menyelesaikan kes saman terhadap editor Sarawak Report yang menyiarkan laporan mendakwa PAS menerima RM90 juta daripada Umno.

Laporan bertarikh 6 Ogos 2016 berhubung dakwaan tersebut diputuskan untuk kekal di portal Sarawak Report, susulan penyelesaian luar mahkamah itu

Artikel lapan perenggan itu mendakwa wang sebanyak RM90 juta dimasukkan ke dalam akaun pimpinan tertinggi PAS bagi mempengaruhi parti tersebut supaya menyokong Umno dan Barisan Nasional.

Susulan itu, sebagai penyelesaian Rewcastle-Brown juga menarik balik tuntutan balas ke atas Hadi. – 7 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen