MAHKAMAH anti keganasan Pakistan mengisytiharkan bekas ketua tentera Pervez Musharraf sebagai orang buangan dalam perbicaraan kes bunuh Benazir Bhutto pada Khamis, 10 tahun selepas bekas perdana menteri itu dibom mati di Rawalpindi.
Mahkamah di Karachi mengetepikan pertuduhan terhadap lima yang didakwa militan Taliban yang dituduh terlibat dalam pembunuhan tersebut.
Bagaimanapun dua anggota polis, satu-satunya yang disabitkan kesalahan dalam kes ini, didapati bersalah atas dakwaan “mengganggu tempat kejadian”.
Laporan paling tepat tentang kematian Bhutto menyatakan ikon politik Pakistan itu ditembak di tengkuk sebelum penyerangnya mengebom diri, membunuh 24 orang.
Namun pemerhati menyifatkan keputusan mahkamah pada Khamis, yang pertama dikeluarkan dalam masa 10 tahun sejak insiden yang mengejutkan dunia itu, tidak menjelaskan siapa sebenarnya dalang pembunuhan.
Kematian Bhutto ini tidak terlepas daripada pelbagai teori konspirasi, sama seperti banyak pembunuhan tokoh politik lain di republik Islam itu sejak berdekad-dekad lalu.
Berikut adalah beberapa teori siapa bunuh Bhutto:
Teori kerajaan Pakistan
Kerajaan Musharraf menyalahkan ketua Taliban Pakistan ketika itu, Baitullah Mehsud, yang menafikan dia terlibat. Meshud terbunuh dalam serangan dron tentera Amerika Syarikat pada 2009.
Bhutto sebelum itu kuat menentang kemunculan kelompok ekstremis Islam di Pakistan dan berikrar memburu sampai ke kubu mereka di kawasan puak di sempadan.
Bekas perdana menteri itu kemudiannya menerima ancaman daripada Al-Qaeda, Taliban dan beberapa kumpulan jihad tempatan, serta segelintir elemen dalam kerajaan Pakistan.
Tetapi penyiasat Pakistan memberi fokus kepada anggota bawahan dan kurang memberi perhatian kepada pimpinan atasan yang terlibat dalam merancang, membiayai dan menjalankan tugasan pembunuhan.
Pada 2013, mahkamah di Pakistan mendakwa Musharrfa atas tuduhan membunuh Bhutto, dalam satu tindakan yang dilihat luar biasa terhadap seorang bekas ketua tentera.
Musharraf kemudian lari meninggalkan Pakistan pada 2016 selepas kerajaan menarik balik sekatan perjalanan terhadapnya, dan tindakan dia itu dikecam oleh pengkritiknya.
Dia kini hidup dalam buangan.
Teori PBB
Atas permintaan Parti Rakyat Pakistan (PPP) yang memerintah selepas pembunuhan Bhutto, pasukan penyiasat tiga anggota dari Pertubuhan Bangsa Bersatu dikirimkan ke Pakistan untuk membuat siasatan.
Dalam laporan penyiasatan setebal 70 halaman yang dikeluarkan pada 2010, PBB secara khusus meletakkan beban tanggungjawab pada kerajaan Musharraf kerana gagal menyediakan kawalan keselamatan yang memadai kepada Bhutto untuk menghalang serangan seumpama itu.
“Pembunuhan Bhutto boleh dielakkan sekiranya ada langkah keselamatan yang wajar diambil sebelumnya,” kata laporan itu.
Pasukan penyiasat itu juga menyebut beberapa kegagalan pihak polis untuk menyiasat insiden dengan wajar termasuk memelihara integriti tempat kejadian.
Kurang dua jam selepas serangan, pegawai kanan polis Khurram Shahzad membersihkan kawasan kejadian. Dia adalah seorang daripada dua anggota polis yang disabitkan tuduhan pada Khamis.
Pegawai polis yang kedua, ketika itu ketua polis Rawalpindi, Saud Aziz berkali-kali enggan membenarkan jenazah Bhutto dibedah siasat.
Polis memberitahu suruhanjaya siasatan PBB itu mereka memungut 23 bahan bukti dari lokasi kejadian “dalam kes yang lazimnya ada ribuan (bahan bukti)”, kata laporan itu lagi.
Penyiasat PBB itu bagaimanapun membayang ada sesuatu yang melampaui siasatan polis yang tidak cekap, termasuk kemungkinan siasatan itu dihalang oleh pihak tertentu dalam pasukan keselamatan Pakistan.
“Pegawai ini sebahagiannya takut kepada penglibatan agensi risikan dan tidak pasti sejauh mana sepatutnya mereka menyiasat pembunuhan itu, yang mereka tahu, sebagai profesional, sewajarnya mereka lakukan,” kata laporan itu lagi.
Penyiasat PBB tidak menamakan sesiapa sebagai suspek dan mengatakan tugas itu menjadi tanggungjawab mahkamah di Pakistan.
Teori konspirasi
Selepas kematian Bhutto, PPP menang pilihan raya dan suaminya Asif Ali Zardari terpilih sebagai presiden. Beliau bagaimanapun gagal merungkai misteri pembunuhan isterinya sehingga menimbulkan pelbagai dakwaan konspirasi.
Spekulasi itu dimarakkan dengan kematian pegawai kanan Zardari, Bilal Sheikh dalam satu serangan bom bunuh diri di Karachi pada 2013.
Sheikh bertanggungjawab menjaga keselamatan Bhutto semasa kepulangannya ke Karachi setelah hidup dalam buangan diserang dengan bom pada Oktober 2007, membunuh lebih kurang 140 orang.
Diplomat Chile, Heraldo Munoz yang mengetuai siasatan PBB bagaimanapun berkata adalah sukar untuk membayangkan suaminya sendiri terlibat dalam pembunuhan Bhutto.
Al-Qaeda yang mahukan dia mati manakala serangan dilakukan oleh Taliban Pakistan, dengan sokongan agen risikan yang berpaling tadah, katanya. Tindakan polis cuba menutup kes itu pula dipercayai “arahan atasan”.
Diplomat itu juga berpendapat pengawal keselamatan Bhutto sendiri menyebabkan kematiannya sementara mereka yang menggalakkan dia pulang ke tanah air tidak mempersiapkan perlindungan yang sewajarnya.
Spekulasi lain yang tidak disahkan termasuk Bhutto dibunuh oleh engawal keselamatan kepercayaannya, Khalid Shahensha yang dalam satu rakaman video dilihat membuat isyarat aneh di pentas ketika Bhutto sedang berucap beberapa ketika sebelum kematiannya.
Beberapa bulan selepas pembunuhan itu, Shahensha sendiri ditembak mati secara misteri di Karachi. – AFP, 1 September 2017.
Komen