PAS dan Umno mampu meraih lebih 30 kerusi untuk merampas semula Putrajaya jika kedua-dua parti mengeratkan persefahaman politik, kata bekas perdana menteri Najib Razak.
Beliau yakin mereka akan dapat menjadi kerajaan dengan kerjasama parti lain di Sabah dan Sarawak.
“Sebab itu bila kita lihat keputusan PRU14 lalu, lebih daripada 30 kerusi Parlimen boleh dapat kepada Umno dan PAS jika kita ada persefahaman politik yang erat pada ketika itu.
“30 kerusi dan campur lagi dengan puak-puak kita di Sabah dan Sarawak, kita boleh tubuh kerajaan,” kata Najib dalam satu dialog bersama penyokong Umno dan PAS di Langkawi.
Beliau juga mengakui pertembungan tiga penjuru antara Umno dan PAS dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu merupakan strategi yang silap.
Najib menjelaskan, keputusan untuk Umno bertanding menentang PAS itu berdasarkan kepada keputusan dua Pilihan Raya Kecil (PRK) sebelum PRU14 iaitu di Sungai Besar dan Kuala Kangsar.
PRK itu menyaksikan Barisan Nasional (BN) menang di kedua-dua kerusi tersebut dengan majoriti yang lebih besar, namun ia menjadi kesilapan apabila strategi sama dilaksana dalam PRU14, katanya.
“Bila kita buat perkiraan pada peringkat awalnya berdasarkan keputusan di PRK Sungai Besar dan PRK Kuala Kangsar, pertandingan tiga penjuru kita menang besar.
“Tetapi disitulah ada sedikit perkiraan yang tidak tepat. Rupa-rupanya bila tiga penjuru lebih merugikan kita,” katanya.
Dalam PRU14 lalu, Umno berusaha meraih majoriti besar di Dewan Rakyat dengan mewujudkan pertandingan tiga penjuru menentang Pakatan Harapan.

Ia dijalankan dengan harapan pengundi Pakatan Harapan dan PAS berpecah dua namun perkara sebaliknya berlaku kerana ia merosakkan undi di banyak kerusi.
Ia menyebabkab banyak kerusi yang dimenangi oleh BN sebelum ini terlepas kepada Pakatan Harapan dan parti itu kalah pilhan raya buat pertama kali dalam sejarah.
Barisan Nasional hanya memenangi 32 kerusi Parlimen daripada 77 kerusi yang melibatkan pertandingan tiga penjuru, PAS 23 kerusi dan Pakatan Harapan menang 22 kerusi.
Namun Najib berkata keadaan itu berlaku kerana PAS tidak mempunyai persefahaman politik yang erat pada masa itu.
Dalam program sama, Yang Dipertua PAS kawasan Langkawi, Zubir Ahmad pula berkata beliau percaya dua parti Melayu Islam itu mampu menawan negeri Kedah dengan majoriti melebihi dua pertiga kerusi Dun.
“Kalau jadi gabungan ini, berdasarkan realiti PRU14 lalu, hanya Parlimen Langkawi sahaja yang kalah, yang lain kita mampu menang.
“Di Dun hampir 30 kerusi kita boleh menang daripada 36 kerusi Dun yang ada,” katanya yang sepentas dengan Najib dalam dialog tersebut.
Menurut Zubir, Umno dan PAS perlu segera meraih sokongan dengan menggunakan isu Melayu dan umat Islam.
“Dalam keadaan agama, bangsa kita selepas PRU14 ini diinjak dan sebagainya, maka titik pertemuan perlu dicari segera. Apabila ditekan diinjak Melayu dan Islam, Umno dan PAS perlu cari jalan untuk bersatu,” ujarnya.
Najib dan Zubir berucap di program “Umno dan PAS Demi Mempertahankan Islam dan Kuasa Melayu” itu Wisma Umno di Langkawi malam tadi. – 7 Februari, 2019.
Komen