Trump janji derma RM4.27 juta pada mangsa Harvey


Presiden Amerika Syarikat Donald Trump akan menyumbang AS$1 juta (RM4.27 juta) kepada tabung bantuan kepada warga Texas dan Louisiana yang terjejas akibat taufan Harvey. – Gambar AFP, 1 September, 2017.

WHITE House semalam mengumumkan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump akan menyumbang AS$1 juta (RM4.27 juta) kepada tabung bantuan kepada warga Texas dan Louisiana yang terjejas akibat taufan Harvey.

“Dengan bangganya, beliau berjanji menyerahkan wang AS$1 juta, iaitu sumbangan peribadinya untuk membantu penduduk di Texas dan Louisiana,” kata jurucakap White House, Sarah Sanders kepada wartawan.

Bagaimanapun, White House tidak mendedahkan sama ada sumbangan itu akan disalurkan oleh Trump sendiri atau menerusi yayasan miliknya.

Ketika kempen pilihan raya presiden pada 2016, Trump dikritik hebat kerana sering mengumumkan akan membuat sumbangan amal, tetapi akhirnya tiada bantuan disalurkan seperti yang didakwa.

Menurut Sanders, Trump sudah meminta White House mengemukakan cadangan mengenai cara untuk membelanjakan sumbangan terbabit.

Pada masa sama, Sanders mengumumkan Trump bakal mengunjungi Houston dan Lake Charles, Louisiana, esok.

Ini susulan, Trump gagal melawat kawasan banjir di Texas pada kunjungannya Selasa lalu, atas sebab logistik dan keselamatan. – AFP, 1 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen