WALAUPUN perindustrian berkembang pesat pada 1990-an, Malaysia tetap melabur dalam tanaman kelapa sawit yang semakin popular di seluruh dunia sebagai sumber minyak sayuran.
Hasilnya, keluasan tanah yang ditanam dengan minyak sawit di Malaysia berganda dari 2.5 juta hektar pada 1990 kepada 5.85 juta hektar pada masa ini.
Kira-kira 40% daripada kesemua tandan buah segar (FFB) dari kelapa sawit ini dituai oleh pekebun kecil – pengusaha persendirian yang mengerjakan estet seluas antara 5 hingga 10 ekar.
Menjelang 2017, jumlah pengusaha ini berkembang kepada 650,000 di seluruh Malaysia.
Namun pada 2018, harga kelapa sawit menjunam ke paras paling rendah dalam tiga tahun yang menyebabkan pendapatan pekebun kecil ini merosot sehingga 50%.
Penganalisis pasaran menyebut kejatuhan harga ini berpunca dari lebih bekalan minyak sawit mentah dari pengeksport seperti Malaysia dan Indonesia, dan penurunan permintaan dari pengimport seperti India.
Menurut LMC International, kuasa beli bagi pengimport terbesar minyak sawit dunia itu mengalami penguncupan pada 2018 apabila prestasi mata wang rupee merosot paling teruk berbanding mata wang negara Asia lain.
Perkara ini menyebabkan eksport ke negara itu merosot, kata ketua LMC International bagi Asia Tenggara, Julian Conway McGill.
“Sementara itu, tuaian minyak sawit meningkat 5 juta tan pada 2018, yang dihasilkan kawasan matang yang baharu dan tuaian yang tinggi dari estet muda,” katanya dalam satu seminar Lembaga Minyak Sawit Malaysia.
Kejatuhan 20% harga minyak sawit mentah dan kemerosotan 40% harga FFB dari negara pengeluar ini membentuk kitaran ganas yang menekan pekebun kecil seperti Rahman Surip di Kuala Selangor.

Buah tandan segar ini merupakan buah mentah yang dituai di ladang dan dijual ke kilang penapisan untuk dijadikan minyak sawit mentah (CPO).
“Saya hilang 50% punca pendapatan apabila harga kelapa sawit jatuh. Saya tidak mampu lagi beli baja dan racun untuk ladang saya,” kata Rahman, 77, ketika ditemui di ladangnya seluas 20 ekar.
Lazimnya, setiap dua ekar kelapa sawit yang diselenggarakan dengan baik akan dapat menghasilkan antara satu hingga satu setengah tan buah segar setiap bulan.
“Daripada 20 ekar tanah, saya cuma mampu mengutip antara 5 hingga 10 tan hasil kelapa sawit sebulan,” katanya.
Bukan lagi tuaian emas
Pengalaman Rahman itu turut dirasai oleh ramai lagi pekebun kecil kelapa sawit.
Tanaman berkenaan menjadi komoditi utama di Malaysia sejak kemerdekaan dan membawa ramai rakyat Malaysia keluar daripada kemiskinan sejak penubuhan Felda.
Ia turut membangunkan gergasi perladangan seperti Sime Darby Berhad dan IOI Plantations.
Pada 1990, kira-kira 2.5 juta hektar tanah ditanam dengan kelapa sawit. Pada 2018, jumlah itu berganda kepada 5.85 juta hektar, menurut Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).
Pekebun kecil mengeluarkan kira-kira 40% daripada kesemua FFB yang dituai di dalam negara. Pada 2018, sebanyak 15.55 tan FFB dikeluarkan setiap hektar dari 5.85 juta hektar ladang di Malaysia, menurut MPOB.
Daripada 5.85 juta hektar estet ini, 17% dimiliki pekebun kecil seperti Rahan, manakala 61% dimiliki syarikat seperti Sime Darby, Felda Global Ventures Holdings dan IOI Plantations.
Felda, agensi persekutuan yang kini dirundung masalah, menyelia kira-kira 112,000 orang pekebun kecil yang diuruskan kerajaan. Peneroka ini memiliki 12% dari kesemua estet.
Kawasan tanaman selebihnya dimiliki agensi kerajaan (6%), Felcra Berhad (3%) dan Risda, 1%.
Minyak sawit menjadi penyumbang terbesar bagi keluaran negara kasar bagi sektor pertanian, sebanyak 46.6%. Sektor ini menyumbang 8.2% atau RM96 bilion kepada KDNK negara pada 2017.
Walaupun memberi sumbangan besar kepada ekonomi negara, harga CPO dan pendapatan dari tanaman ini amat tidak stabil.

Menurut satu laporan MPOB bertarikh 17 Januari, harga minyak mentah sawit merosot pada purata RM2,783 setan pada 2017 kepada purata RM2,322 setan pada 2018.
Pada Disember, harga CPO adalah RM1,794.50 setan paling rendah dalam tempoh tiga tahun lalu.
Menurut MPOB, harga FFB berlegar sekitar RM700 dan RM750 setan pada Januari 2017 bergantung kepada kawasan dan gred kadar pengeluaran minyak.
Ia merosot ke antara RM570 dan RM490 setan bermula Januari 2018. Menjelang Jun tahun lalu, selepas Pilihan Raya Umum ke-14, harganya di antara RM480 dan RM430.
Pada Disember 2018, harga itu merosot kepada antara RM380 dan RM320 – kejatuhan hampir 50% sejak Januari 2017.
Kejatuhan harga ini menyebabkan pekebun kecil seperti Rahman mempersoalkan sekiranya tanaman ini masih berdaya saing di Malaysia.
Beliau berkira-kira untuk mengusahakan padi pula di tanah itu dengan menggunakan teknik tanaman moden yang menggunakan beg plastik.
“Saya dah pergi kursus sekali, dalam masa terdekat saya akan melawat tempat penanaman di Janda Baik, Pahang, dan kita nak cuba tanam dulu di rumah, kalau sesuai kita mungkin akan teruskan,” katanya.
Namun tidak semua pekebun kecil mampu menukar kepada tanaman lain seperti rancangan Rahman kerana mereka bergantung sepenuhnya dengan hasil jualan kelapa sawit tanpa pendapatan sampingan.
“Nak tukar tanam tanaman lain saya nak makan apa sementara tunggu hasil, nak tanam kontan, banyak pula musuh seperti monyet dan babi hutan, belum lagi kira hasil dicuri,” kata Sabil Md Salleh.
Sabil berkata daripada enam ekar ladang kelapa sawit miliknya, dia hanya mampu menuai kira-kira 4 hingga 5 tan sebulan.
“Mahu atau tidak kena hadap jugalah harga kelapa sawit turun, cuma kita harap harga akan naik semula seperti sebelum PRU14, dapatlah bernafas sedikit,” kata bapa kepada dua anak itu.
Beliau tidak mampu membeli baja dan racun serta kerana menanggung kos seperti upah memotong kelapa sawit sebanyak RM60 setan.
“Kalau nak baja kita memang tidak ada hasil, nak uruskan sendiri dah tak larat, dah tua,” kata Sabil, 80.
Pengerusi Persatuan Kebangsaan Pekebun Kecil Selangor Lehan Sayahan berkata keadaan itu semakin buruk ketika musim hujan kerana mereka tidak dapat menuai hasil apabila kebun banjir.
“Macam tahun lepas, sejak mula musim hujan pada November hingga Januari, kami tidak ada hasil,” katanya.
Beliau yang memiliki kebun seluas enam ekar berkata kos pengeluaran di kebunnya merosot 30% dan terpaksa menambah kos upah RM80 setan untuk mengangkut hasil keluar. – 6 Februari, 2019.
Komen