Pelancong kaya seronok di Terengganu, tapi peniaga makin rugi


Sheridan Mahavera

Seorang peniaga kedai pakaian dan cenderamata di Pasar Payang, Kuala Terengganu kelihatan duduk di dalam kedainya menunggu pelanggan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 1 September, 2017.

SEKTOR pelancongan di Terengganu kelihatannya seperti sangat maju ketika cuti musim panas sedang berlangsung.

Resortnya di Pulau Redang dan Pulau Lang Tengah yang menghadap hamparan laut biru jernih airnya, penuh sesak dengan pelancong Eropah, China dan juga rakyat Malaysia yang berkemampuan.

Tetapi di ibu negerinya Kuala Terengganu, penjual batik dan cenderamata seperti Abdul Manaf Omar, 48, keuntungan daripada perniagaannya semakin mengecil dan pelanggan pula berkurangan bulan demi bulan.

“Hanya pada musim cuti sekolah dan cuti umum saja ada orang masuk ke kedai saya. Dan saya boleh dianggap bertuah kerana kedai di Pasar Payang ini tempat tumpuan umum yang terkenal,” katanya yang ditemui di gerainya.

Perbezaan itu terlihat dalam angka pelancongan Terengganu yang dikeluarkan Unit Perancang Ekonomi negeri. Pada 2015, ia merekodkan pertumbuhan 12.6% dalam kalangan pelancong asing jika dibandingkan hanya 3% bagi pengunjung domestik.

Ia juga perbezaan yang menunjukkan kesan tidak sama rata daripada ekonomi lemah terhadap kelas pendapatan berbeza, sama seperti bagaimana pertumbuhan ekonomi negara yang memberangsangkan baru-baru ini tidak dirasai oleh kebanyakan rakyat Malaysia.

Penurunan pelancong domestik akan mencabar sasaran kerajaan Terengganu untuk memperoleh pendapatan selain daripada hasil minyak dan gas serta menjadikan sektor itu penyumbang terbesar hasil negeri.

Jadi walaupun destinasi dan hotel yang menyasarkan pengunjung terdiri daripada rakyat Malaysia kaya dan pelancong asing menyaksikan peningkatan, perniagaan yang bergantung pada pelancong domestik semata-mata, tidak berkembang.

Perlumbaan kapal layar Monsoon Cup contoh terbaik. Hotel mewah di Kuala Terengganu seperti resort Ri Yaz Heritage and Spa dan Duyong Marina Resort, memperoleh pecahan pendapatan terbesar ketika acara itu.

Sektor lebih kecil seperti restoran, kedai dan malah teksi juga hanya dapat sedikit pertambahan pendapatan ketika kejohanan selama sebulan itu.

Peniaga makanan ringan di Pasar Payang terpaksa menunggu musim cuti sekolah dan cuti umum untuk lebih ramai pengunjung ke gerai mereka. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 1 September, 2017.

Kumpulan itu, di mana termasuk kedai menjual pakaian dan makanan dengan kumpulan sasar rakyat Malaysia, berkata cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan inflasi menyebabkan jualan menurun.

Kerajaan juga punca kekecewaan mereka tetapi atas alasan yang berbeza. Peniaga dan pengurusan hotel percaya kerajaan negeri tidak cukup berusaha melakukan sesuatu untuk membawa masuk pelancong bermalam di negeri itu dan berbelanja di Kuala Terengganu.

Satu lagi ialah, pemotongan bajet kerajaan untuk mengadakan latihan kakitangan menyebabkan seminar dan bengkel yang diadakan di Terengganu berkurangan menyebabkan kejatuhan besar bilangan pengunjung domestik.

Hanya lalu saja

Seorang lagi penjual batik, Wan Mohamad Yusof Wan Awang, 59, berkata jualan semakin teruk sejak tiga hingga empat tahun lalu, pada masa sama kerajaan memperkenalkan GST dan memotong bajet untuk penganjuran latihan.

“Dulu, kerajaan selalu buat bengkel latihan guru di Terengganu. Bila guru datang sini, mereka akan habiskan masa setengah hari beli-belah di Pasar Payang,” katanya.

Manaf berkata apabila nilai ringgit jatuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), kain untuk membuat batik jadi lebih mahal kerana terpaksa diimport dari China dan Indonesia.

“Jadi pengeluar terpaksa menaikkan harga borong kepada kami dan ada yang kenakan GST. Kami tidak boleh naikkan harga kepada pelanggan kerana jualan akan jatuh. Jadi kami serap kos yang lebih tinggi itu,” katanya.

Penduduk setempat bersiar-siar di pulau Duyung, menikmati pemandangan indah pantai Terengganu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 1 September, 2017.

Pengurangan jumlah pengunjung turut dirasai pengusaha restoran, kata Long Jin, 46, yang menguruskan sebuah kafe di kawasan bersejarah Chinatown.

“Kami hanya terima pengunjung pada musim cuti sekolah. Pelancong biasanya tidak bermalam di Kuala Terengganu. Mereka hanya lalu saja ketika dalam perjalanan ke pulau-pulau.

“Kuala Terengganu kurang publisiti dan tarikan untuk membuatkan mereka bermalam di sini,” katanya.

Yang kaya dapat manfaat

Di pulau-pulau kecil di negeri itu, di mana resort kebanyakannya untuk pelancong berpendapatan rendah dan pertengahan turut mengalami pengurangan pengunjung, kata pengurus hotel SP Chong.

“Tempat penginapan yang berharga RM200 satu malam paling terjejas teruk. Jika anda gaji RM6,000 sebulan dan ada dua anak, anda perlu fikir panjang untuk bercuti di pulau,” katanya yang memiliki sebuah hotel di Kuala Terengganu dan Pulau Lang Tengah.

“Tetapi resort yang biasanya mengenakan caj RM400 satu malam dalam keadaan baik. Ada yang memperoleh peningkatan 10% jumlah pengunjungnya. Pelancong kaya masih bercuti.”

Katanya, walaupun kebanyakan pelancong yang bercuti ke pulau dari China dan Eropah, separuh daripada pelancong masih dari Malaysia.

Beliau berkata bagi membolehkan industri terus berkembang, kerajaan perlu membuat pelaburan membina infrastruktur yang lebih mesra pelancong seperti sistem pengangkutan awam dan tarikan lain seperti medan makan menampilkan makanan tempatan serta kraf tangan.

Dan walaupun negeri itu berkata ia mempromosikan Terengganu di luar negara, Chong berkata kempen itu tidak dikoordinasi dengan baik dan tidak berkesan.

“Mereka promosikan Terengganu kepada orang Eropah tetapi tidak melakukan kempen sama kepada pelancong Asean, Taiwan, Korea atau Jepun. Mereka ada lapangan terbang antarabangsa, tetapi tidak ada penerbangan terus dari China,” katanya.

Walaupun ia terkenal, potensi pelancongan Terengganu masih belum diterokai sepenuhnya, katanya. – 1 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen