SPRM selesai siasat kes beli undi PRU14 di Cameron Highlands


Kalidevi Mogan Kumarappa

Pada akhir November lalu, Mahkamah Pilihan Raya mengisytiharkan keputusan PRU14 yang memberikan kemenangan kepada Sivarraajh sebagai terbatal dan tidak sah kerana beliau melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Februari, 2019.

SIASATAN berhubung kes beli undi ketika kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada Mei lalu di kerusi Parlimen Cameron Highland sudah lengkap dan diserahkan kepada Ibu Pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPRM) di Putrajaya untuk tindakan selanjutnya.

Pengarah SPRM Perak Zainul Darus berkata pihaknya sudah merakam keterangan Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail dan bekas ahli Parlimen Cameron Highlands C Sivarraajh atas dakwaan merasuah pengundi ketika kempen PRU14.

Wan Rosdy merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jelai yang terletak di bawah kawasan Parlimen Cameron Highlands.

Beliau juga merupakan ketua Umno bahagian Cameron Highlands pengerusi Barisan Nasional (BN) di kawasan itu sejak 2008.

“Semua yang boleh membantu siasatan sudah dipanggil. Kertas siasatan sudah dihantar ke Ibu Pejabat SPRM,” kata Zainul kepada The Malaysian Insight.

Pada akhir November lalu, Mahkamah Pilihan Raya mengisytiharkan keputusan PRU14 yang memberikan kemenangan kepada Sivarraajh sebagai terbatal dan tidak sah kerana beliau melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Hakim Azizah Nawawi berkata, Sivarraajh didapati memberi wang secara terus kepada pengundi Orang Asli atau melalui Wan Rosdy atau ejennya untuk mempengaruhi pengundi agar memilihnya.

Pemberian rasuah itu didakwa berlaku semasa pertemuan dengan Orang Asli pada 28 April dan pada 3,6,7,8 dan 9 Mei seperti didakwa pempetisyen oleh calon Pakatan Harapan M Manogaran.

Calon DAP itu mendakwa Sivarraajh berkempen bersama Wan Rosdy dan memberi rasuah antara RM30 dan RM1,000 kepada Tok Batin Orang Asli supaya pengundi dari masyarakat itu mengundi calon BN.

Susulan keputusan itu, SPR mengeluarkan larangan yang menyekat Sivarraajh daripada bertanding dan mengundi dalam pilihan raya selama lima tahun.

Malah SPRM memulakan siasatan berhubung kes itu selepas keputusan mahkamah itu diumumkan.

Bagaimanapun BN mengekalkan kemenangan di kerusi Parlimen Cameron Higland pada pilihan raya kecil yang diadakan semula pada 26 Januari lalu.

Calon BN, Ramli Mohd Nor menang dengan majoriti besar untuk menewaskan Manogaran dan dua lagi calon bebas. – 5 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen