SPRM boleh siasat kes RM90 juta PAS tanpa laporan rasmi


KEPUTUSAN PAS menarik balik saman fitnah terhadap editor Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown berhubung dakwaan pemberian dana 1MDB sebanyak RM90 juta oleh mantan perdana menteri Najib Razak kepada beberapa orang pemimpin tertinggi PAS bagi mendapatkan sokongan PAS kepada Umno amat mengejutkan.

Penarikan saman tersebut menunjukkan dakwaan penerimaan dana RM90 juta tersebut benar.

Oleh kerana isu ini melibatkan penyelewengan dana 1MDB yang mempunyai unsur-unsur kesalahan jenayah termasuk kesalahan rasuah dan pengubahan wang haram, maka PAS dan pemimpin yang menerima dana tersebut juga harus disiasat oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Nama pemimpin PAS yang didakwa terlibat juga seharusnya disiasat di bawah Akta SPRM samaada pemberian dana RM90 juta tersebut merupakan suatu suapan bagi mendorong PAS untuk menyokong Umno memandangkan PAS dilihat cenderung mempertahankan skandal 1MDB.

Justeru, kenyataan SPRM seperti yang dilaporkan Malaysiakini bahawa siasatan terhadap dakwaan dana RM90 juta ini tidak boleh dimulakan kerana tiada aduan rasmi dibuat adalah tidak berasas.

Menurut seksyen 29(3) Akta SPRM 2009, pihak SPRM boleh menyiasat sesuatu maklumat selain daripada aduan bertulis berkaitan pelakuan rasuah. Kes ini yang telah didedahkan secara luas oleh media dan faktanya pula telah didedahkan di dalam Penyata Pembelaan Clare adalah dokumen awam yang boleh diakses.

Dokumen tersebut boleh dijadikan asas siasatan kerana fakta yang didedahkan membangkitkan syak berlakunya pelakuan rasuah.

Tiada sesiapa yang boleh terlepas dalam siasatan skandal mega 1MDB ini kerana penyelewengan dana ini adalah begitu besar dan menjijikkan. Keluhuran undang-undang perlu ditegakkan dengan satu siasatan adil, menyeluruh dan segera dijalankan pihak SPRM bagi meningkatkan integriti institusi penguatkuasaan undang-undang tersebut.  – 5 Februari, 2019.

*Faiz Fadzil adalah timbalan ketua Pemuda Amanah dan Adun Permatang Pasir.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen