BN tak akan letak calon ‘expired’ di Semenyih, kata Mat Hasan


Timothy Achariam

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan berkata calon BN untuk PRK Semenyih perlulah individu tidak ada beban politik dan diterima rakyat. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 5 Februari, 2019.

CALON Barisan Nasional untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih bukanlah seorang yang ada beban politik, kata pemangku Ketua BN Mohamad Hasan.

Calon itu juga perlulah orang yang diterima pengundi, kata Mohamad lagi, menambah, yang beliau tidak akan menamakan seseorang yang sudah “expired” kerjaya politiknya atau ada beban politik untuk bertanding kerusi itu.

Timbalan presiden Umno itu yang kini menjalankan tugas presiden berkata tidak ada faedah meletakkan calon yang ditolak pengundi.

“Saya tak akan letak produk, iaitu calon yang sudah ‘expired’, itu sudah pasti.

“Dan produk (calon) itu perlu boleh diterima dan dipasarkan,” katanya pada majlis rumah terbuka Tahun Baharu Cina anjuran MCA di Kuala Lumpur hari ini.

 “Ini semuanya tentang pemasaran, pasarkan calon yang tepat bukan sahaja untuk Umno dan MCA tetapi juga untuk semua parti dan pengundi kawasan itu.”

Calon itu akan diumumkan tidak lama lagi, katanya lagi.

Mengulas tentang keperluan calon yang bagus ketika popularti BN semakin menjunam, Mohamad berkata: “Kita perlu ada calon yang bagus, kita tak boleh calon biasa-biasa. Kita perlu cari calon yang boleh bawa parti. Kerana parti sudah tak boleh bawa calon lagi.” 

Kerusi Semenyih kosong selepas kematian Adun Bakhtiar Mohd Nor (PH) pada 11 Januari lalu kerana serangan jantung.

Pada PRU14, Bakhtiar menewaskan calon BN, PAS dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) dengan majoriti 8,964. Beliau meraih 23,428 undi.

PRK kali ini mungkin akan mempertembungkan BN, Gerakan dan PH. PAS pula mengumumkan akan bekerjasama dengan Umno. 

Penamaan calon akan berlaku pada 16 Februari, pengundian awal pada 26 Februari dan pengundian pada 2 Mac. – 5 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen