SKUAD Badar menghentikan semua aktiviti mencegah kemungkaran buat sementara waktu sehingga siasatan serta pendakwaan dijalankan ke atas pemimpin kumpulan berkenaan.
Ahli Majlis Tertinggi Skuad Badar Muhamed Farid Nazmi memberitahu The Malaysian Insight, pihaknya hormat dan akur dengan tindakan pihak polis dan akan mematuhi undang-undang.
“Kami akan akur kepada tindakan polis. Semua aktiviti mencegah kemungkaran sudah dihentikan buat sementara waktu sehingga siasatan dan pendakwaan ke atas kami selesai,” katanya ketika dihubungi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Adzli Abu Shah berkata, pihaknya masih menunggu jawapan daripada Pejabat Peguam Negara berhubung status kertas siasatan terhadap Presiden Skuad Badar serta ahlinya untuk tindakan lanjut.
25 Januari lalu, Adzli menyatakan siasatan ke atas Skuad Badar yang dijalankan mengikut Akta pertubuhan 1966 selesai dan kertas siasatan sudah dihantar kepada timbalan pendakwa raya untuk tindakan lanjut.
Adzli menyatakan polis akan terus memantau pergerakan sukarelawan cegah maksiat yang dikategorikan sebagai pertubuhan haram.
“Sekiranya, timbalan pendakwa raya memberi kebenaran mereka akan dituduh dalam masa terdekat,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Skuad Badar menggantung semua aktivitinya apabila pemimpin dan pengasasnya Azhar Mohamad ditahan pada 13 Januari lalu.
Azhar bersama sembilan pengikutnya dibebaskan dari tahanan pada 19 Januari dengan jaminan polis selepas direman antara dua hingga enam hari.
Siasatan dibuat atas dakwaan menganggotai pertubuhan yang menyalahi undang-undang.
The Malaysian Insight difahamkan, Azhar ditahan berdasarkan laporan yang dibuat seorang pegawai kanan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) di Sungai Petani, pada 10 Januari.
Polis juga memberitahu The Malaysian Insight, Azhar ditahan mengikut Akta Rahsia Rasmi kerana mendedahkan komunikasi dalaman polis di Facebook.
Skuad Badar menjalankan kegiatan cegah maksiat secara sukarela di sekitar Sungai Petani, Kedah, sejak dua tahun lalu.
Mereka mendakwa operasi itu dijalankan bagi membantu pihak berkuasa agama negeri yang dikatakan tidak cekap dan tidak cukup kakitangan.
Pihak berkuasa agama Kedah sebaliknya menegaskan Skuad Badar tidak pernah diberi kuasa untuk menjalankan operasi cegah maksiat selain melakukan operasi tidak mengikut prosedur.
Skuad Badar menjadi tumpuan susulan pendedahan The Malaysian Insight mengenai operasi cegah maksiat Skuad Badar yang mencetuskan kegusaran penduduk setempat dan pemimpin masyarakat.
Sesetengah penduduk yang ditemui The Malaysian Insight mengakui operasi Skuad Badar itu dibuat dengan tujuan baik tetapi tidak harus mengetepikan undang-undang.
Skuad Badar mendakwa operasi mereka mendapat restu pihak polis dan pihak berkuasa agama, berdasarkan laporan dan makluman yang mereka buat setiap kali sebelum operasi.
Perkara itu bagaimanapun dinafikan pihak berkuasa.
The Malaysian Insight juga melaporkan, badan itu didapati tidak berdaftar secara sah dengan Jabatan Pendaftar Pertubuhan. – 4 Februari, 2019.
Komen