SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Perak sedang mengemaskini siasatan rasuah ke atas tiga kakitangan Majlis Daerah Kerian (MDK) berhubung pembekalan lima unit motosikal beroda tiga.
Pengarah MDK Zainul Darus mengesahkan sehingga kini tiada tangkapan baharu dilakukan berhubung kes berkenaan.
“Siasatan masih diteruskan dan kami dalam proses kemas kini,” katanya kepada The Malaysian Insight.
11 November lalu, menerusi Ops Mark Up, SPRM menahan empat individu, terdiri daripada tiga kakitangan MDK terdiri iaitu dua lelaki berusia 31 dan 48 tahun, serta seorang wanita berusia 46 tahun. Seorang kontraktor wanita berusia 59 tahun turut ditahan.
Tiga penjawat awam itu disyaki menggunakan kedudukan mereka bagi mendapatkan suapan dalam urusan Jawatankuasa Penilaian Sebutharga MDK, dalam pembekalan lima unit motosikal beroda tiga untuk kutipan sampah pada harga RM16,500 seunit.
Zainul dilaporkan berkata, pembekalan motosikal itu dibuat oleh syarikat kroni yang disyorkan mereka dengan harga tidak munasabah, kerana jauh lebih mahal berbanding harga pasaran sekitar RM8,000 seunit.
Semua mereka disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan direman selama empat hari sebelum dilepaskan dengan jaminan SPRM.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Zainul berkata, tiada tangkapan baru dibuat berhubung siasatan kes mengemukakan tuntutan palsu bagi bayaran kerja pembinaan dan bersubahat memperaku kerja membina tembok penahan runtuhan tanah untuk rumah peneroka Felda Trolak Selatan.
Melalui Ops Gabion, SPRM menahan penolong pengarah kewangan di ibu pejabat Felda, eksekutif teknikal syarikat pengurusan hartanah dilantik oleh Felda, pegawai tadbir Felda Trolak dan seorang kontraktor berhubung kes berkenaan.
Keempat - empat mereka ditahan kerana dipercayai membuat tuntutan palsu bernilai RM137,900 dibuat sedangkan kerja-kerja dilakukan tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan Jawatankuasa Tender, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2019.
Semua mereka yang berusia antara 32 hingga 39 tahun direman antara empat dan lima hari sebelum dibebaskan dengan jaminan SPRM. – 4 Februari, 2019.
Komen