PEGUAM jenayah terkenal V. Sithambaram mengesahkan bahawa beliau akan menyertai pasukan pendakwaan di mahkamah yang dijangka dijalankan pada minggu depan dalam perbicaraan SRC International Sdn Bhd terhadap Najib Razak.
Sithambaram dan Sulaiman Abdullah akan mengetuai pendakwaan dalam perbicaraan yang bermula pada 12 Februari.
“Saya boleh mengesahkan bahawa saya telah dilantik,” kata Sithambaram kepada The Malaysian Insight mengenai pelantikannya oleh Jabatan Peguam Negara (AGC).
Kes Najib melibatkan RM89 juta yang dilarikan daripada anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang kini tidak berfungsi, ke dalam akaun bank peribadinya.
Seramai 50 orang saksi akan dipanggil pihak pendakwaan bagi memberi penerangan mengenai bagaimana wang daripada SRC International dipindahkan ke akaun Najib.
Perbicaraan akan bermula dari 12 Februari hingga 28 Februari dan juga pada 4 Mac hingga 29 Mac.
Najib menerima tujuh pertuduhan pada Julai dan Ogos tahun lalu yang melibatkan skandal wang bernilai RM42 juta, dan minggu lalu, beliau dijatuhkan tiga pertuduhan tambahan yang melibatkan wang berjumlah RM47 juta.
10 pertuduhan itu ditambah selain 32 pertuduhan lain yang dikaitkan dengan 1MDB yang menyaksikan skandal pengubahan wang haram melibatkan wang bernilai RM2.3 bilion.
Sithambaram tampil dalam beberapa kes berprofil tinggi sepanjang tempoh karier undang-undangnya.
Beliau pernah membela Dr Mahathir ketika didakwa pada 2007 oleh Anwar Ibrahim kerana didakwa membuat kenyataan fitnah terhadap pemimpin pembangkang itu.
Sithambaram juga turut membela Abdul Rahim Noor ketika bekas ketua polis negara itu didakwa menyerang Anwar.
Baru-baru ini, bekas pengerusi jawatankuasa undang-undang jenayah Majlis Peguam itu turut membela ahli perniagaan Phang Li Koon dalam kes rasuah terhadap beliau dan bekas ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.
Pakar undang-undang mengatakan bahawa pelantikan Sithambaram adalah satu kepuitusan bijak memandangkan pengalamannya dalam membela beberapa orang pesalah kerana beliau akan dapat menjangka dan mengatasi gerakan yang dibuat oleh peguam Najib, Shafee Abdullah. – 4 Februari, 2019.
Komen