TUJUH lelaki tempatan yang mendalangi satu kes penculikan ahli perniagaan Singapura ditumpaskan polis Bukit Aman.
The Malaysian Insight difahamkan mangsa berusia 50-an dan menjalankan perniagaan sayur dibebaskan Sabtu lalu selepas lima hari diculik.
Sumber berkata, kumpulan tersebut melarikan lelaki itu ke sebuah lokasi di Gelang Patah, Johor pada 27 Januari lalu sebelum meminta tebusan lebih RM1 juta daripada ahli keluarga mangsa.
Menurut sumber, bagi memastikan keselamatan mangsa, ahli keluarganya bersetuju untuk membayar wang tebusan seperti yang dituntut oleh kumpulan itu pada 31 Januari.
“Akhirnya, mangsa dibebaskan sehari kemudian dan operasi memburu suspek dimulakan sebaik mangsa diselamatkan.
“Semua suspek berjaya dicekup selepas operasi dijalankan secara berterusan pada 1 dan 2 Februari lalu dan sejumlah wang tunai turut ditemui semula hasil operasi khas itu,” kata sumber.
Kes disiasat sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Berat (D9) Bukit Aman dan Jabatan Siasatan Jenayah Polis Kontinjen Johor ditubuhkan bagi menyiasat kes itu.
Pasukan itu difahamkan berjaya merampas beberapa senjata milik kumpulan itu termasuk sebilah parang panjang.
Sumber turut mengesahkan semua lelaki itu disiasat dan diambil tindakan mengikut Seksyen 3 Akta Culik dan Seksyen 3 Akta Senjata Api 1960.
Sementara itu, Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd ketika dihubungi mengesahkan kes berkenaan namun enggan mengulas lanjut.
“Kami perlu membuat siasatan dan tangkapan lagi. Sidang media bakal diadakan pada 7 Februari nanti,” katanya. – 4 Februari, 2019.
Komen