Jemaah haji mula berhimpun di Padang Arafah


Jemaah haji mula berkumpul di Gunung Arafah hari ini sebelum bertolak ke Mina esok bagi menyempurnakan ibadah haji mereka. – Gambar AFP, 31 Ogos, 2017.

SEJUMLAH dua juta orang Islam seluruh dunia mula berhimpun di Padang Arafah bagi menyempurnakan ibadah haji mereka hari ini.

Helikopter kelihatan terbang di kawasan yang sesak dengan jemaah untuk mengawal keselamatan di Padang Arafah dan Jabal al-Rahma.

Lambaian Kaabah 2017.

Berpakaian ihram, jemaah haji kelihatan mendaki bukit dan mengambil kedudukan untuk mengerjakan ibadah sembahyang dan sunat lain di atas kawasan yang sudahpun hangat kerana matahari pagi.

Di atas laluan bersimen yang menghubungkan kawasan itu ke kawasan bukit, ada antara mereka yang berdoa sambil menadah tangan ke langit.

Ada juga jemaah yang mengambil kesempatan berehat di khemah yang disediakan di sepanjang jalan.

Hari ini adalah hari kedua haji, ibadah yang diwajibkan kepada orang Islam yang mampu.

Arafah adalah kawasan yang dipercayai orang Islam sebagai tempat Nabi Muhamad S.A.W memberikan khutbah terakhirnya 14 kurun lalu selepas mengetuai pengikutnya mengerjakan haji.

“Saya naik malam semalam dan bersembahyang, ambil gambar dan telefon keluarga dan kawan saya,” kata Maia, 32 tahun dari Jakarta, Indonesia.

Walaupun jam belum 10 pagi suhu sudah mencecah lebih 30 darjah celsius.

Di hospital bertentangan dengan gunung itu, sebuah kawasan disediakan bagi merawat jemaah yang terkesan dengan cuaca panas itu.

“Kami mempunyai 326 buah ambulan yang diletakkan di sepanjang laluan haji supaya boleh merawat jemaah yang sakit secepat mungkin,” kata Meschal Alanazi dari Persatuan Bulan Sabit Merah.

Di sebelah petang, jemaah akan bertolaki ke Mina. Mereka akan tinggal semalam di sana sebelum melakukan amalam merejam Jamrah, tindakan simbolik yang disifatkan sebagai merejam syaitan.

Amalan di Jamrah Kubra itu menyaksikan tragedi pada 2015 yang membunuh 2,300 jemaah haji- tragedi haji terburuk pernah berlaku.

Arab Saudi mengerahkan lebih daripada 100,000 anggota keselamatan bagi menjaga keselamatan jemaah haji tahun ini. – AFP, 31 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen