Asteroid terbesar akan lintasi Bumi pada 1 September


Asteroid terbesar itu akan melintasi Bumi tetapi ahli sains percaya ia tidak mengancam keselamatan manusia. – Gambar EPA, 31 Ogos, 2017.

ASTEROID terbesar yang pernah melintasi Bumi lebih sekurun lalu akan sekali lagi melintasi planet ini pada 1 September. Lintasan itu akan berlaku pada jarak 4.4 juta batu (7 juta kilometer) dari Bumi, kata Nasa.

Asteroid itu dikesan pertama kali pada 1981 dan diberikan nama “Florence” sempena nama ibu jururawat moden kurun ke-19, Florence Nightingale.

“Florence adalah asteroid terbesar melintasi planet kita sejak asteroid pertama dikesan berhampiran Bumi sejak sekurun lalu,” kata agensi angkasa lepas AS itu.

Ia adalah salah satu asteroid terbesar yang wujud berhampiran Bumi, berukuran seluas 2.7 batu (4.4 kilometer), atau 30 kali saiz piramid Giza.

Ahli sains merancang untuk mengkaji asteroid itu ketika ia melintas menggunakan radar imej di California dan Puerto Rico.

“Imej yang terhasil akan memberitahu saiz sebenar Florence dan juga mungkin mendedahkan permukaannya,” kata Nasa.

Lintasan Florence ini adalah yang paling hampir dengan Bumi “sejak 1890 dan hanya akan berlaku sekali lagi pada 2500,” kata agensi itu lagi.

Pelanggaran asteroid besar dengan Bumi jarang berlaku.

Setiap tahun asteroid sebesar kereta akan memasuki atmosfera Bumi tetapi akan terbakar sebelum sempat terhempas.

“Lebih kurang 2,000 tahun lalu, sebuah meteoroid sebesar padang bola sepak terhempas di Bumi dan menyebabkan kerosakan teruk,” kata Nasa.

“Sekali dalam masa berjuta tahun, sebuah objek yang cukup besar akan muncul mengancam tamadun manusia di Bumi.”

Tetapi ahli sains percaya Florence bukan ancaman. – AFP, 31 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen