SEORANG pelajar di Afrika Selatan yang menerima hampir AS$1 juta kerana kesilapan pentadbiran menggunakan wang tersebut untuk membeli pakaian, telefon bimbit dan mengadakan parti.
Syarikat yang bertanggungjawab memberikan pinjaman pelajar itu melakukan kesilapan apabila memindahkan 14 juta rand ke dalam akaun pelajar wanita itu berbanding 1,400 rand (AS$107) elaun makanan bulanan yang sepatutnya diterima.
Walter Sisulu University, di Eastern Cape berkata kesilapan besar itu dibuat pada Jun lepas dalam proses pemberian belanja kepada semua pelajar yang layak.
“Kesilapan itu hanya disedari pada Isnin lalu selepas menerima aduan daripada pelajar lain,” kata jurucakap universiti Yonela Tukwayo.
Tukwayo berkata pelajar itu yang tidak boleh dinamakan sudah membelanjakan lebih 800,000 rand (AS$61,250) daripada jumlah duit yang diterima.
“Dia bertanggungjawab kepada jumlah yang sudah dibelanjakan, sebagai sebahagian daripada perjanjian dengan pelajar yang membuat pinjaman pendidikan,” kata Tukwayo.
Baki wang itu sudah diambil daripada pelajar tersebut dan universiti sedang menyiasat bagaimana kesilapan itu boleh berlaku.
Skim Bantuan Kewangan Pelajar Nasional Afrika Selatan yang membiayai pelajar memerlukan seringkali berdepan dengan jumlah permohonan tinggi pelajar yang mahu mendapatkan pinjaman pendidikan.
Pelajar di negara itu sejak dua tahun lepas sudah melancarkan protes ganas mendesak pendidikan universiti percuma. – 31 Ogos, 2017.
Komen