IRAQ mengumumkan yang pasukan keselamatannya sudah berjaya menakluk kembali bandar di utara negara itu, Tal Afar dan kawasan sekitarnya dalam usaha menyingkirkan militan Kumpulan Negara Islam Syria dan Iraq (IS).
“Kegembiraan sempurna, kejayaan sudah tiba dan daerah Nineceh kini sepenuhnya berada dalam pegangan kita,” kata kenyataan pejabat Perdana Menteri Haider al-Abadi.
Kejayaan itu terhasil selepas berminggu tentera Iraq yang disokong AS berjaya mengusir IS dari bandar Mosul, tiga tahun selepas militan menakluk bandar itu dan mengisytiharkan “kalifah” di sempadan Iraq dan Syria.
IS sudah kehilangan banyak kawasan takluknya dan ribuan militannya terbunuh sejak akhir 2014, apabila pakatan ketenteraan diwujudkan untuk memerangi militan itu.
IS di Iraq kini hanya mengawal bandar Hawija, 300 kilometer utara Baghdad, dan beberapa kawasan di gurun di sepanjang sempadan Iraq dan Syria.
Kehilangan Tal Afar yang terletak antara Mosul dan sempadan Syria bermakna IS akan terus tertekan kerana ia dianggap pusat penting “khalifahnya”. – AFP, 31 Ogos, 2017.
Komen