Program Bank Makanan Malaysia, pelajar universiti harap kebajikan terjaga


Christopher Rabin

Dapur Helwa sudah dijalankan sejak empat tahun lalu, dan mereka berharap tindakan kerajaan memperkenalkan program bank makanan nasional dapat membantu pelajar universiti. – Gambar Facebook, 4 Februari, 2019.

SEJAK empat tahun lepas, Dapur Helwa yang digerakkan oleh semangat kebajikan “pelajar untuk pelajar” berdepan banyak cabaran, sehinggakan projek yang dahulunya dijalankan setiap minggu itu kini hanya diadakan dua minggu sekali.

Tetapi, “Program Bank Makanan Malaysia” yang akan diperkenalkan tahun ini boleh jadi penyelamat Dapur Helwa, kata penganjurnya, Ahmad Farhan Rosli yang juga setiausaha agung Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).

“Bila kami dengar kerajaan akan perkenalkan bank makanan kebangsaan, kami melihatnya sebagai sesuatu yang perlu disokong oleh semua pelajar universiti.

“Pelajar yang tidak mampu membeli makanan perlu berjumpa mereka yang bertanggungjawab ke atas program tersebut di universiti mereka,” katanya.

Program itu yang diumumkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Saifuddin Nasution, dilancarkan Disember tahun lepas dengan matlamat mengurangkan kos sara hidup pengguna terutama kumpulan paling terbeban, B40.

Inisiatif itu juga bertujuan mengurangkan pembaziran makanan.

Rang undang-undang khas Bank Makanan Malaysia sedang dirangka dan dijangka dibentangkan untuk kelulusan Parlimen pada hujung tahun ini.

“Sekarang, menerusi crowdfunding dan derma, kami cuba memberikan makanan lebih dua kali setiap bulan, walaupun sebelum ini kami mampu buat setiap minggu.

“Kami tidak ada senarai atau pangkalan data, dan kami beri makanan secara percuma. Tetapi, kami berharap untuk mula bentuk satu (senarai) dan mengambil tahu perkembangan mereka yang selalu terima makanan di kawasan edaran kami,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Dapur Helwa bergantung sepenuhnya kepada sumbangan orang ramai dalam menyediakan makanan untuk pelajar. – Gambar Facebook, 4 Februari, 2019.

Tambahnya, mereka selalu mengedarkan makanan di masjid atau kawasan awam.

“Selalunya, kami ada ‘speaker’s corner’ untuk bincangkan isu dihadapi pelajar universiti, seperti kemanusiaan atau isu nasional. Selepas perbincangan, kami edarkan makanan.”

Idea penubuhan Dapur Helwa bermula pada 2015, selepas terbongkar isu yang pelajar universiti tidak makan disebabkan kekangan kewangan.

Dapur Helwa kini mengedarkan makanan untuk pelajar di Universiti Malaya, Universiti Selangor, Unisel Bestari Jaya, Universiti Putra Malaysia, Universiti Islam Antarabangsa (cawangan Gombak dan Kuantan), Universiti Sains Islam Malaysia, Kolej Antarabangsa Islam dan Kolej Uniti Port Dickson.

Ahmad menjelaskan yang program itu banyak bergantung kepada derma.

“Kami kutip derma daripada pensyarah atau individu, dan beli 100 hingga 250 bungkusan makanan dan air botol dan beri secara percuma. Makanan selalunya habis dalam 10 minit.

“Kami tahu ada pelajar yang tidak mampu makan kerana mereka cuba berjimat. Kadang-kadang mereka tidak ada duit kerana mereka habiskan untuk buku teks atau keperluan akademik yang lain.” – 4 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen