Amanah gesa ahli PAS lapor kes RM90 juta jika bermaruah


Mohd Farhan Darwis

Ahli PAS kini perlu menuntut pemimpin mereka memberi penjelasan telus tentang RM90 juta yang dikatakan diterima daripada Umno selepas saman Sarawak Report di UK diselesaikan secara aman. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Februari, 2019.

AHLI PAS perlu melaporkan kepada pihak berkuasa kes wang RM90 juta yang didakwa diterima oleh parti itu dari Umno, kata Naib Presiden Amanah Mahfuz Omar.

Ini memandangkan dakwaan itu kekal dalam laporan Sarawak Report susulan penyelesaian kes saman oleh Presiden PAS Abdul Hadi Awang ke atas editor portal itu Clare Rewcastle-Brown.

Mahfuz berkata, ahli PAS yang bermaruah perlu mengambil tindakan segera susulan penyelesaian di luar mahkamah itu yang disifatkannya memalukan.

“Bagi saya dan Amanah, cukup dengan keputusan presiden tarik balik, itu menunjukkan kes (PAS terima wang dari Umno) memang berlaku,” kata Mahfuz lagi.

Tegasnya, ahli PAS harus melaporkan kepada pihak berkuasa memandangkan ahli parti itu turut dirayu membuat sumbangan untuk membiaya kes berkenaan untuk dibawa ke Mahkamah Tinggi di London.

“Mereka kutip derma kerana kata ada kes, kutipan dipercayai melebihi jumlah yang diperlukan. Mereka perlukan sebanyak RM400,000 tetapi berjaya kutip RM500,000. 

“Ini bermakna mereka beria-ia mahu saman Sarawak Report demi membersihkan nama presiden PAS.

“Tiba-tiba buat penyelesaian dan tarik balik. Malahan tidak ada perubahan dalam artikel Sarawak Report. Ini sangat memalukan dan PAS perlu jelaskan kepada ahli,” katanya 

Presiden PAS Abdul Hadi Awang tidak lagi boleh berselindung di sebalik alasan fitnah kerana penyelesaian dengan Claire Rewcastle-Brown membuktikan ada kebenaran tuduhan RM90 juta. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Februari, 2019.

Katanya ahli PAS yang bermaruah perlu membersihkan nama PAS dengan membuat laporan kepada pihak berkuasa.

“Kalau ahli rasa mereka dimalukan oleh presiden, mereka sudah menderma, tetapi kemudian berlaku seperti ini,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Tapi ahli parti itu mungkin tidak membuat aduan jika tidak berasa malu seperti sikap bekas perdana menteri Najib Razak, katanya.

“Kalau mereka pun macam (bekas perdana menteri) Najib (Razak), (rasa) ‘malu apa bossku’, terpulanglah,” kata Mahfuz, merujuk slogan yang dipopularkan Najib di laman media sosial.

Slogan “malu apa bossku” itu merupakan kempen digerakkan Najib pada masa ini untuk menonjolkan imej baharunya sebagai individu yang dekat dengan masyarakat.

Kempen itu digerakkan susulan penemuan barang kemas, beg berjenama dan wang tunai berjumlah hampir RM1 bilion di apartment dikaitkan dengan Najib selepas kalah Pilihan Raya Umum ke-14.

Najib kini menghadapi 42 tuduhan rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram berkait penglibatannya dalam skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Siasatan pihak berkuasa ke atas kes berkenaan turut melibatkan pembekuan pelbagai akaun termasuk parti Umno yang dikatakan menerima wang daripada 1MDB.

Sarawak Report dikendalikan Claire Rewcastle-Brown mengekalkan artikelnya tentang tuduhan PAS menerima RM90 juta daripada Umno, selepas menyelesaikan kes saman PAS di luar mahkamah di UK. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Februari, 2019.

Mengulas lanjut mengenai kaitan Umno dengan PAS, Mahfuz juga mempersoalkan jika penyelesaian saman itu dibuat untuk memelihara hubungan kedua-dua parti tersebut.

“Kerana kalau diteruskan banyak perkara akan ditimbulkan dalam perbicaraan dan mungkin Najib akan disapina untuk beri keterangan sekali gus akan menjejaskan hubungan banyak pihak, khususnya pemimpin Umno,” kata Mahfuz.

Terdahulu, Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad berkata, tindakan Hadi itu menunjukkan PAS sememangnya menerima dana Umno.

“Sebelum kita keluar PAS untuk tubuhkan parti Amanah dahulu kita kata perkara ini sedang berlaku, mereka kata ini semua fitnah, tetapi sekarang sudah jelas.

“Saya difahamkan suara rakaman Nik Abduh diperakui sebagai benar di mana ucapannya menyebut tentang ambil duit Umno,” katanya seperti dilaporkan Bernama.

Penyelesaian saman itu disahkan Setiausaha Politik Hadi, Syahir Sulaiman yang menyebut, presiden PAS itu menarik balik tuntutan terhadap defendan iaitu Rewcastle-Brown.

Sebagai timbal balas, defendan itu pula menarik balik tuntutan balas terhadap presiden PAS berkenaan.

Hadi memfailkan saman fitnah di Mahkamah Tinggi London berikutan artikel ditulis Rewcastle-Brown yang disiarkan Sarawak Report pada 6 Ogos 2016.

Artikel lapan perenggan itu mendakwa wang sebanyak RM90 juta dipercayai dimasukkan ke dalam akaun pimpinan tertinggi PAS bagi mempengaruhi anggota parti tersebut supaya menyokong Umno dan Barisan Nasional.

Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng (DAP) turut menuntut PAS mengakui bahawa parti tersebut sememangnya menerima RM90 juta dari Umno seperti didakwa Sarawak Report. – 3 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • I read your blog and
    Im very impressed. Its very useful I hope I will see this type
    of post again in your blog
    Thanks
    for your nice post .

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Islam islam · Ulasan

  • Thanks
    for your nice post .
    I hope I will see this type
    of post again in your blog.
    Thanks

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Islam islam · Ulasan