CHINA mengutuk sekatan baharu terhadap Korea Utara dan memberi amaran kepada Jepun, Amerika Syarikat (AS) serta Britain kepada perlunya diplomasi bagi mengelakkan krisis beberapa hari selepas Pyongyang melepaskan peluru berpandunya ke atas Jepun.
Jurucakap kementerian luar negeri, Hua Chunying berkata, sekatan itu “pada asasnya tidak akan menyelesaikan masalah”, di tengah-tengah laporan mengatakan ketiga-tiga negara itu didesak dengan sekatan ke atas import minyak Korea Utara dan pekerja asing.
“Amat malang apabila sesetengah negara mengabaikan perlunya mengadakan dialog sebagai penyelesaian, sebaliknya memilih sekatan.
“Kata-kata dan perbuatan ini sebaliknya membinasakan dalam penyelesaian isu nuklear Semenanjung Korea,” katanya.
“Situasi semasa di semenanjung Korea bukan satu lakon layar, juga bukan mainan komputer. Ia situasi sebenar yang memberi kesan kepada keselamatan rakyat di semenanjung dan keamanan serta kedamaian serantau,” katanya lgi.
Beliau mengulas kenyataan Menteri Luar Jepun Taro Kono kepada wartawan iaitu Jepun dan AS akan mendapatkan sekatan baharu bagi menghentikan ujian peluru berpandu dan nuklear Korea Utara.
Menurut agensi berita Jepun, Jiji, Tokyo merancang meningkatkan usaha bersama Washington untuk memujuk China dan Russia menukar pendirian mereka menentang sekatan minyak yang dijangkakan dengan satu resolusi Majlis Kemananan PBB baharu.
Britain telah meminta sekatan baharu PBB terhadap Korea Utara yang akan menyasarkan pekerja tetamu yang kebanyakannya dihantar ke Rusia dan China, yang menjadi sumber pendapatan Pyongyang.
Majlis Keselamatan PBB telah mengenakan tujuh set sekatan ke atas Pyongyang. Terbaharu pada awal bulan ini, bagaimanapun langkah untuk menghentikan hasrat Kim Jong Un melancarkan peluru berpandu itu tidak berjaya.
Selasa lalu para diplomat PBB sebulat suara mengutuk ujian peluru berpandu Pyongyang, bagaimanapun dijangka tidak membawa kepada sekatan segera atau sekatan yang lebih ketat memandangkan 15 ahli majlis berbahagi tentang langkah selanjutnya. – AFP, 31 Ogos, 2017.
Komen