Laporan polis dibuat terhadap program selfie Najib


Bede Hong

Bekas perdana menteri Najib Razak memulakan kempen "Malu Apa Bossku" yang turut melonjakkan popularitinya terutamanya dalam kalangan anak muda.– Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Februari, 2019

LAPORAN polis telah dibuat oleh penyokong Pakatan Harapan terhadap Najib Razak ketika ahli Parlimen Pekan itu memulakan lawatan tiga hari ke kawasan Parlimen Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Salah seorang pengadu, Shukor Bahari 54, membuat laporan polis di Balai Polis Kuah, Langkawi hari ini yang mendakwa penganjur program, “Selfie bersama DSN”, tidak mendapat permit.

Shukor bersama empat lagi yang membuat laporan sama di balai polis berkenaan menambah, acara berkenaan mempunyai “elemen hasutan dan perkauman yang mungkin melanggar undang-undang.”

Laporan polis Shukor itu turut dimuat naik di laman Facebook Najib hari ini apabila bekas perdana menteri itu menyindir mereka. 

“Buat “selfie” pun salah? Sampai ada beberapa orang perlu membuat laporan polis terhadap saya,” kata Najib di laman Facebooknya. 

“Rileks-lah. Saya ke sini untuk jalan-jalan, sembang-sembang dan makan ikan bakar sahaja.

Tahun lepas nak sekat saya main FB, sekarang nak larang saya selfie dengan kawan-kawan. Apa lagi selepas ini?”

Posting Najib mendapat lebih 1,600 komen setengah jam selepas ia dimuat naik. 

Lawatan itu dibuat sehari selepas Dr Mahathir berkata beliau tidak tergugat dengan peningkatan populariti Najib, yang berdepan kes mahkamah. 

Dr Mahathri berkata, Najib tidak mempunyai impak sebenar walaupun Barisan Nasional menang pilihan raya kecil Cameron Highlands. 

“Ya mereka menang tetapi kehilangan banyak undi. 

“Beliau nampaknya dapat populariti tetapi hanya di media sosial dan a bukan impak sebenar,” katanya selepas mempengerusilan mesyuarat Pakatan Harapan semalam. 

Dr Mahathir berkata Najib sepatutnya melakukan semua perkara yang beliau minta Pakatan Harapan buat ketika masih berkuasa. 

“Beliau sepatutnya buat apa yang beliau mahu kita lakukan sekarang dan mungkin beliau masih lagi jadi PM. Pada zamannya, beliau tangkap orang seperti Shafie Apdal (Ketua Menteri Sabah) dan Maria Chin. Mereka tahan dan kurung dalam bilik gelap.

“Sekarang, kita benaran beliau bercakap dan beri jaminan. Beliau tak perlu pakai baju lokap. Kita lebih jauh demokrasi, kerajaannya kleptokratik,” kata Dr Mahathir merujuk kepada pembebasan Najib. 

Najib mencetuskan kejutan di media sosial bulan lalu apabila melancarkan kempen media sosial yang bermula dengan gambar beliau bersama sebuah motosikal dengan slogan “Malu Apa Bossku”.

Kempen itu diikuti dengan beberapa pertemuan awam di beberapa lokasi di ibu negara, yang mana ia dihadiri oleh kebanyakan anak muda. 

Beliau juga aktif troll pemimpin Pakatan Harapan kerana gagal memenuhi janji yang dibuat sebelum pilihan raya umum. 

Sejak tewas pada pilihan raya umum, Najib setakat ini berdepan 42 pertuduhan rasuah berhubung penglibatannya dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB). – 2 Februari, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen