Hadi tawar selesaikan saman fitnah Sarawak Report 


Presiden PAS Abdul Hadi Awang membuat keputusan untuk memuktamadkan penyelesaian luar mahkamah melalui perintah persetujuan bertarikh 1 Februari di mahkamah tinggi London.– Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Februari, 2019

PRESIDEN PAS Abdul Hadi Awang menawarkan untuk menyelesaikan saman fitnahnya dengan editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown untuk syarat penyelesaian yang tidak didedahkan.

Hadi membuat keputusan untuk memuktamadkan penyelesaian luar mahkamah melalui perintah persetujuan bertarikh 1 Februari di mahkamah tinggi London, kata setiausaha politiknya, Syahir Sulaiman, dalam satu kenyataan hari ini.

Hadi juga bersetuju untuk menarik balik tuntutannya terhadap Rewcastle-Brown kerana defendan dikatakan telah menarik balik tuntutan balasnya. Tiada perintah dibuat untuk kos.

Syahrir menambah bahawa kedua-dua pihak terikat dengan perjanjian kerahsiaan mengenai syarat penyelesaian.

Hadi menyaman Rewcastle-Brown berhubung artikel Sarawak Report yang bertajuk “As Najib denies all over 1MDB, let’s not forget his many other criminal connections” yang disiarkan pada 6 Ogos, 2016. 

Artikel itu mencadangkan bekas perdana menteri Najib Razak menyalurkan RM90 juta kepada Hadi dan parti Islam itu untuk menarik sokongan mereka dari pakatan pembangkang  – Pakatan Rakyat – yang ketika itu secara rasminya berpecah.

Rewcastle-Brown berkata pada Oktober 2017 bahawa peguam Ambiga Sreenevasan adalah sumber maklumatnya dan dia menerbitkan sebahagian daripada perbualannya dengan Ambiga sebagai komentar politik mengenai kepentingan awam. Ambiga enggan mengulas.

Bulan lepas, PAS cuba menaikkan RM400,000, selain RM2.5 juta yang dibelanjakan untuk saman itu. – 2 Februari, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen