Tak semestinya ikut acuan Cameron Highlands, kata Umno Semenyih


SM Amin

Umno bahagian juga menolak calon "payung terjun" kerana bimbang ditolak oleh akar umbi. PRK Semenyih akan diadakan pada 2 Mac susulan penyandangnya dari PH, Bakhtiar Mohd Nor, 57, meninggal dunia di Hospital Kajang pada 11 Januari lalu akibat serangan jantung. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Februari, 2019.

BARISAN Nasional (BN) tidak semestinya meletakkan calon yang tidak mewakili mana-mana parti untuk bertanding di kerusi DUN Semenyih, kata Ketua Bahagian, Johan Abdul Aziz.

Katanya, BN tidak semestinya menggguna acuan tersebut sekali lagi walau ia berjaya memberi kemenangan pertama kepada parti itu di Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands.

“Kita tidak boleh ikut acuan sama dengan PRK Cameron Highlands. Melainkan tidak ada calon langsung yang sesuai,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Bekas Adun Semenyih itu juga menegaskan Umno bahagian menolak calon “payung terjun” kerana risau tidak dikenali masyarakat dan penolakan daripada akar umbi.

“Kita cadangkan senarai enam calon ini dahulu, tengok apa parti cakap. Perkara ini masih dalam perbincangan, belum dimuktamadkan lagi,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.

Ketua Umno Bahagian Hulu Langat Johan Abd Aziz (dua dari kiri)berkata BN tidak semestinya meletakkan calon yang tidak mewakili mana-mana parti untuk bertanding di kerusi DUN Semenyih.  – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Februari, 2019.

Kerusi Parlimen Cameron Highlands merupakan yang pertama dimenangi BN dalam siri PRK yang diadakan selepas pilihan raya umum ke-14.

Calonnya yang menang merupakan bekas penolong pesuruhjaya polis Ramli Mohd Nor, seorang anggota dan pemimpin masyarakat Orang Asli tempatan yang bukan ahli parti.

Susulan itu, timbul beberapa cadangan media sosial yang mahukan BN meletakkan calon yang bukan mewakil parti tersebut, termasuk dari sekutu baharunya, PAS.

Cadangan berkenaan antara lain dibangkitkan pemimpin parti seperti bekas ahli Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi.

“Kita kunci Semenyih. Calon dari PAS, anak tempatan, guna tiket BN,” tulisnya di Facebook beliau.

Cadangan sama turut dibangkitkan dari kalangan aktivis propaganda di media sosial kelolaan parti.

“PRK Semenyih: Jika calon PAS tetapi bertanding tiket BN, apa pendapat?” soal seorang editor Barisan Nasional Portal (BNP) Roslan Bian.

Mengulas lanjut mengenai cadangan tersebut, Johan turut meminta supaya Umno memaklumkan kepada pimpinan bahagian terlebih dahulu sekiranya calon cadangan mereka tidak terpilih.

“Nama kita sudah angkat, biar kepimpinan tertinggi Umno menilai dahulu. Tetapi sekiranya ada perubahan calon, bukan daripada cadangan Bahagian, tolong beritahu dahulu pada kita,” katanya.

Jelasnya ia bagi membolehkan Umno bahagian menyatakan penerimaan ke atas calon terseubt.

Beliau menjangkakan calon BN yang diputuskan itu akan diketahui seawal 8 Februari ini.

Mengulas mengenai keyakinan BN menghadapi PRK Semenyih, Johan berkata parti itu mempunyai kelebihan berdasarkan peratusan keluar mengundi dalam tiga PRK di Selangor.

Dalam siri PRK tersebut, BN parti berjaya membawa keluar pengundi “putih” iaitu pemilih yang setia menyokong mereka.

Tambahan pula, Umno kini menjalin kerjasama lebih rapat dengan PAS yang menurutnya menjejaskan keyakinan PH.

“Saya rasa PH pun tidak berapa yakin boleh menang bila kita sudah bekerjasama dengan PAS ini.

“Berdasarkan jumlah keluar mengundi di tiga PRK di Selangor sebelum ini untuk kes meninggal dunia, kurang daripada 50 peratus sahaja.

“Sekarang ini siapa yang boleh keluarkan pengundi putih parti masing-masing, akan ada kelebihan,” ujarnya. – 2 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen