Kilang penapisan minyak AS terjejas teruk akibat Harvey


Salah satu kilang penapis minyak di Houston, Texas, Amerika Syarikat dikelilingi air banjir susulan ribut Harvey. – Gambar AFP, 31 Ogos, 2017.

HARGA minyak mentah jatuh lagi dalam dagangan Asia hari ini apabila kilang penapisan penghasilan minyak utama di pantai teluk Amerika Syarikat (AS) masih belum dapat beroperasi akibat Taufan Harvey, menyebabkan bekalan semakin bertambah.

Ribut taufan itu membadai Texas pada Jumaat lalu dan dikategorikan sebagai taufan tahap keempat, memusnahkan rumah dan premis perniagaan serta menyebabkan banjir teruk.

Ribut taufan itu turut menyebabkan penutupan negeri utama penghasilan minyak AS, di mana peniaga bimbang ia akan menyebabkan bekalan minyak mentah semakin bertimbun dan akhirnya mengakibatkan harga bertambah jatuh.

“Sementara beberapa kilang penapis minyak di Texas sudah mula beroperasi semula semalam selepas ribut Harvey beralih ke Louisiana, ada juga yang terpaksa menutup loji menyebabkan kapasiti penapisan berkurangan,” kata S&P Global Platts.

Penganalisis berkata taufan itu mungkin melambatkan lagi proses pemulihan harga minyak walaupun usaha untuk merangsang pasaran minyak dengan mengurangkan pengeluaran dibuat sehingga Mac depan.

Dalam dagangan tengah hari tadi, harga di Texas turun dua sen kepada AS$45.94 setong dan Brent turun lima sen AS$50.81. – AFP, 31 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen