Rakyat belum yakin kemampuan kerajaan, kata MB Selangor


Kalidevi Mogan Kumarappa

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari mengulas mengenai prestasi kerajaan Pakatan Harapan dalam satu forum Bicara Minda di Shah Alam hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Februari, 2019.

RAKYAT masih belum yakin dengan kerajaan persekutuan baharu meskipun sudah sembilan bulan mentadbir negara ini kata Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.

Katanya beliau melihat bahawa rakyat masih belum merasai kesan pembangunan yang dijalankan kerajaan baharu.

Amirudin berkata tahap keyakinan rakyat itu boleh dilihat melalui prestasi Pakatan Harapan (PH) yang gagal merebut Parlimen Cameron Highlands dalam pilihan raya kecil minggu lalu.

“Kegagalan PH memenangi PRK Cameron Highlands turut dipengaruhi sentimen rakyat yang belum yakin dengan kemampuan kerajaan baharu mentadbir negara ini,” katanya dalam satu forum Bicara Minda di Shah Alam hari ini.

Beliau turut mengakui perbezaan pendapat yang disuarakan secara terbuka antara beberapa pemimpin dalam Pakatan Harapan turut memberi kesan kepada keyakinan rakyat.

Tambahnya, kerjasama antara kementerian perlu diperkasakan sama ada membabitkan isu infrastruktur dan luar bandar dan setiap perubahan yang dilakukan oleh kerajaan perlu diperjelaskan kepada rakyat.

Dalam pada itu, Amirudin ketika ditanya mengenai krisis air di Selangor menjelaskan masalah itu tertangguh lebih 10 tahun akibat kerajaan yang berbeza di persekutuan dan negeri.

Katanya, di negeri berkenaan ada 27,000 kilometer (km) saluran air dan sebahagian besarnya tidak ditukar sejak tahun 2006.

“Sejak tahun 2015 hingga 2017, hanya 400km berjaya ditukar dan ia adalah sangat kecil bagi mengatasi masalah krisis air yang berpunca dari saluran air.

“Saya tidak akan berjanji masalah ini akan selesai dalam sekelip mata namun akan melakukan satu pelan yang berkesan bagi mengatasinya,” katanya.

Menurutnya, gangguan tersebut juga disebabkan kemarau dan pencemaran sungai akibat kemalangan dan sisa buangan (sampah, plastik) daripada manusia.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan negeri berjaya mengatasinya dengan kaedah kolam takungan hiliran ‘Off River Storage’ (ORS) di beberapa buah sungai yang boleh digunakan ketika musim kemarau. – 1 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen