Hanya segelintir Melayu tak puas hati prestasi kerajaan, kata PM


Mohd Farhan Darwis

Dr Mahathir berkata, pembangkang juga memomokkan agenda seolah-olah gabungan parti kerajaan itu dikuasai DAP. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 1 Februari, 2019.

HANYA segelintir pengundi Melayu yang tidak berpuas hati dengan prestasi kerajaan Pakatan Harapan (PH), kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, hasil kajian badan Ilham Center dan Penang Institute bahawa seramai 59.3% orang Melayu tidak berpuas hati dengan prestasi kerajaan pimpinannya juga adalah tidak tepat.

“Ini kajian dibuat pembangkang sebagai kempen mereka, bukan 60% (yang tidak berpuas hati) ada peratusan kecil tapi bukan 60%,” kata Dr Mahathir.

Beliau mengulas kajian Ilham Center dan Penang Institute ke atas sikap pengundi Melayu selepas lima bulan PH mengambil alih Putrajaya.

Dr Mahathir berkata, pembangkang juga memomokkan agenda seolah-olah gabungan parti kerajaan itu dikuasai DAP.

“Mereka gunakan fiksyen yang PH diuruskan DAP, (sementara) saya hanya boneka… saya belum jadi bonekalah,” kata Dr Mahathir.

Kajian melibatkan 2,614 responden Melayu seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak, juga mendapati terdapat peratusan besar pengundi yang tidak percaya kerajaan serius dengan “agenda Melayu”.

Ia termasuk usaha kerajaan untuk mempertahankan hak istimewa Melayu dan status Islam sebagai agama rasmi.

Lebih 60% responden pula didapati percaya bahawa orang bukan Islam kini mengawal kerajaan dan DAP merupakan parti ssebenarnya yang berkuasa di Putrajaya.

Parti komponen PH yang didominasi bukan Melayu itu memperoleh jumlah kerusi kedua terbanyak di Dewan Rakyat.

Dr Mahathir turut diminta mengulas kempen bekas Perdana Menteri Najib Razak untuk kembali popular dengan gelaran “Bossku”.

Katanya populariti Najib hanya dapat dilihat di media sosial dan perkara yang diungkit berkas presiden Umno itu juga sepatutnya dilaksana semasa mentadbir kerajaan.

“Kenapa tak buat apa yang dia (Najib) suruh kita buat dulu masa dia perdana menteri? Kalau dia buat dulu dia masih perdana menteri (sekarang),” katanya.

Jelasnya kerajaan Pakatan Harapan juga bertindak adil dengan membiarkan Najib bergerak bebas dalam negara dan meraih sokongan rakyat.

Ia berbeza dengan tindakan Najib sebelum ini ke atas pemimpin seperti bekas menteri kabinet Shafie Apdal dan pemimpin Bersih Maria Chin

“Yang pasti masa dia (memerintah) bila orang ditangkap, kena pakai baju kuning, sekarang dia (bebas) ke sana-sini buat ucapan, ini buktikan kami adil. 

“(Kami) benarkan dia bayar ikat jamin. Shafie (Apdal dahulu) dijel, Maria Chin. Kami bukan macan itu. Kami bukan diktator,” kata Dr Mahathir lagi.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan Majlis Presiden PH di Yayasan Kepimpinan Perdana, di Putrajaya, hari ini. – 1 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen