SEORANG anggota polis yang sedang bertugas di kaunter pertanyaan Balai Polis Pinggiran Subang Jaya ditemui maut dipercayai akibat kecederaan satu das tembakan jarak dekat dan tetakan senjata tajam awal pagi ini.
Ketua Polis Selangor Mazlan Mansor berkata mangsa Lans Koperal Valentino anak Mesa, 29, yang berasal dari Sarawak itu ditemui oleh anggota Unit Peronda Polis (MPV) yang balik ke balai selepas membuat rondaan, dalam keadaan tertiarap dengan lampu ditutup kira-kira 3.25 pagi tadi.
“Apabila beliau (anggota MPV) ke bahagian pertanyaan balai polis, beliau ternampak anggota bertugas (mangsa) dalam keadaan tertiarap dan selepas lampu dinyalakan kelihatan kepala mangsa berdarah,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian.
Mazlan berkata mangsa yang berkhidmat dengan PDRM sejak tujuh tahun lalu sudah berkahwin dan tidak mempunyai anak.
Siasatan awal mendapati kira-kira 2.40 pagi tadi, saksi awam yang berada di kawasan berdekatan terdengar bunyi letupan namun menyangka ia bunyi mercun sambutan malam kemerdekaan.
Beliau berkata siasatan mendapati pistol mangsa hilang dipercayai dilarikan pelaku jenayah.
“Tiada kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar balai ini dan kami sedang mencari pemilik premis berdekatan jika ada memasang CCTV untuk melihat rakaman bagi membantu siasatan,” katanya yang yakin kes itu tidak akan mematahkan semangat anggota polis untuk terus melaksanakan tanggungjawab masing-masing. – Bernama, 31 Ogos, 2017.
Komen