PUTRAJAYA akan menubuhkan badan khas untuk menenilit semua keputusan berkenaan hal ehwal ekonomi negara, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan hari ini yang bertujuan menyelaras keputusan kementerian berhubung soal ekonomi, katanya.
“Kita bersetuju tubuh satu badan tertentu yang akan meneliti dan membuat keputusan berkenaan ekonomi negara.
Ini semacam dulu dikenali sebagai Majlis Tindakan Ekonomi Negara, tapi nama lain.
“Kita akan tentukan semua masalah ekonomi di bawa ke majlis ini dan tentukan tindakan diambil dengan lebih cepat,” jelasnya.
Katanya ia bagi menyelaras keputusan semua kementerian pada masa ini yang menurutnya tidak bersepadu.
“Sekarang agak berpecah kerana tidak ada satu badan tentukan pelaburan dan sebagainya, ada yang pergi ke kementerian tapi tindakan mungkin tidak jelas kepada rakyat,” kata Dr Mahathir lagi.
Pengumuman itu timbul susulan kenyataan beberapa menterinya ke atas keputusan kerajaan yang saling menyanggah antara satu sama lain.
Ia termasuk kenyataan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali dan Menteri Kewangan Lim Guan Eng minggu ini dalam keputusan kerajaan ke atas status projek Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Mengulas lanjut mengenai ECRL, Dr Mahathir menegaskan status projek melibatkan pelaburan besar negara China itu hanya akan diputuskan selepas rundingan mengenainya selesai.
“Status projek kita sedang berunding dan saya tak boleh kata apa-apa (sekarang), kena tunggu hasil (rundingan),” kata Dr Mahathir.
Pengumuman mengenai badan khas itu timbul susulan laporan bahawa syarikat China Communications Construction Co Ltd (CCCC) menawarkan pengurangan kos pembinaan.
CCCC dilaporkan menawarkan kos pembinaan kepada RM67 bilion ringgit atau AS$16.39 bilion bagi jajaran landasan sepanjang 688 kilometer.
Satu laporan Reuters memetik sumber kerajaan China juga menyebut, pegawai negara itu keliru dengan kenyataan berbeza pegawai Malaysia dalam rundingan projek tersebut.
Dr Mahathir bercakap kepada pemberita hari ini selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) di Putrajaya. – 1 Februari, 2019.
Komen