Henti persoal tanpa asas tribunal siasat bekas anggota SPR


PADA 28 Januari 2019, suatu Tribunal yang ditubuhkan mengikut Perkara Perkara 114(3), 125(3) dan 125(4) Perlembagaan Persekutuan untuk menyiasat bekas anggota Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah bersidang dan kemudian ditangguhkan untuk memutuskan sama ada Tribunal tersebut bersifat akademik kerana anggota-anggota SPR yang disiasat telah meletakkan jawatan.         

Dilaporkan pada 17 Oktober 2018 bahawa suatu Tribunal ditubuhkan untuk menyiasat anggota-anggota SPR tersebut. Ini bermakna, semasa laporan tersebut tersiar, Perdana Menteri sudahpun membuat representasi pada Yang di Pertuan Agong (YDPA) pada ketika itu untuk menubuhkan Tribunal tersebut. Oleh itu, tidak ada kekhilafan atau ketidakaturan dalam tindakan Perdana Menteri pada masa itu. Ia juga bermakna bahawa Tribunal tersebut telah ditubuhkan dengan teratur oleh YDPA. Oleh kerana Tribunal itu telah ditubuhkan, maka adalah wajar bahawa prosiding dimulakan pada hari itu, walaupun untuk menentukan sama ada ia patut diteruskan atau tidak.

Selepas berita tersebut tersiar, anggota-anggota SPR tersebut telah meletakkan jawatan pada bulan Oktober dan November 2018. Menurut Peguam Negara, perletakkan jawatan anggota-anggota tersebut ditetapkan oleh mereka sendiri secara unilateral untuk berkuatkuasa pada 01 Januari 2019.

Perkara 114(3) Perlembagaan Persekutuan tidak memberi kuasa kepada YDPA untuk menolak atau menangguhkan perletakkan jawatan tersebut. Maka, dakwaan sesetengah pihak bahawa Peguam Negara seharusnya berunding dengan Perdana Menteri untuk menasihati YDPA supaya menolak perletakkan jawatan tersebut sehingga Tribunal mencapai keputusan nampaknya tidak mempunyai asas dalam Perlembagaan.

Harus diingat bahawa terdapat tuduhan-tuduhan yang serius terhadap anggota-anggota SPR semasa PRU ke-14. Sekiranya Tribunal mendapati bahawa mereka masih boleh meneruskan persidangan dan fungsi mereka bukan sekadar akademik, maka tuduhan-tuduhan terhadap bekas anggota SPR ini mesti disiasat dengan menyeluruh. Mereka tidak wajar melepaskan diri daripada menjawab tuduhan-tuduhan ini dengan meletakkan jawatan.

Terdapat juga pihak yang mendakwa kononnya akan ada Pilihan Raya Umum dalam masa terdekat sekiranya didapati bahawa adanya salahlaku pada anggota-anggota SPR tersebut. Ini adalah dakwaan yang mengarut; Perkara 118 Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyatakan bahawa suatu keputusan Pilihan Raya hanya boleh dicabar melalui petisyen pilihan raya. Akta Kesalahan Pilihan Raya pula dengan jelas menyatakan petisyen pilihan raya mesti difailkan dalam tempoh 21 hari selepas ia disiarkan dalam warta. Oleh yang demikian, masa untuk memfailkan petisyen bagi PRU ke 14 sudah lama berlalu.

Saya menyeru semua pihak untuk berhenti membuat kenyataan-kenyataan tanpa asas undang-undang mengenai Tribunal tersebut seperti ini.

*Syahredzan Johan, Setiausaha Politik Ahli Parlimen Iskandar Puteri

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen