Pemandu berhemah mungkin terima ganjaran premium insurans rendah, kata Loke


Christopher Rabin

Kerajaan sedang mencari cara bagaimana untuk memberi ganjaran kepada pemandu berhemah.

KEMENTERIAN Pengangkutan sedang mencari jalan untuk memberi ganjaran kepada pemandu yang berhemah di jalan raya bagi usaha mengurangkan jumlah kemalangan di jalan raya Malaysia, kata menterinya Anthony Loke.

Sehubungan itu, Loke berkata terdapat perbincangan berterusan dengan Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) untuk mengurangkan premium insurans bagi pengguna jalan raya yang tidak mempunyai saman setiap tahun.

Beliau juga berkata pendekatan ‘lobak dan tongkat’ masih menjadi cara paling berkesan untuk mendidik orang ramai tentang keselamatan jalan raya.

Beliau merujuk kepada kaedah menghukum dan memberi penghargaan kepada pengguna jalan raya untuk memastikan mereka mematuhi peraturan dan pada masa yang sama menghargai nilai nyawa mereka dan orang lain.

“Kami percaya kami bukan sahaja dapat menggunakan tongkat tetapi lobak merah juga bagi mendidik orang (menjaga keselamatan di jalan raya).

“Walaupun keselamatan harus dijaga oleh semua orang, kita perlu memberikan ganjaran sebagai motivasi untuk menggalakkan para pemandu untuk mengubah sikap mereka dan menjadi patuh dengan peraturan ketika di jalan raya.

“Tetapi apabila kita bercakap tentang lobak merah dan tongkat, mesej kita mesti jelas kepada orang ramai bahawa jika anda tidak patuhi peraturan jalan raya, anda akan dihukum.” Loke memberitahu pemberita selepas majlis di Serdang.

Loke berkata mekanisme bagaimana memberi insentif dan diskaun bagi pemegang insurans yang tidak mempunyai saman tertunggak perlu diwujudkan syarikat insurans.

Beliau juga berkata agensi kerajaan juga berkempen dengan tegas untuk menjaga keselamatan jalan raya.

Beliau berkata Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memastikan bahawa bas meninggalkan Terminal Bersepadu Selatan diperiksa sebelum memulakan perjalanan mereka.

“Mereka diperiksa oleh JPJ sebelum mereka diberi lampu hijau untuk bergerak namun malangnya masih ada kemalangan berlaku.

“Kami harap pemandu akan beri perhatian mengenai perkara ini, yang penting bukan sahaja langkah yang diambil pihak berkuasa malahan pemandu juga harus bertanggungjawab dan berada dalam keadaan terbaik ketika memandu,” katanya.  – 1 Februari, 2019.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen