.jpg)
SAYA menyambut baik keazaman Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad untuk membangunkan semula tanah Kampung Baru, Kuala Lumpur.
Tentunya para penduduk dan pewaris tanah telah menanti sekian lama untuk melihat tanah warisan mereka dimajukan tanpa menjejaskan hak pemilikan mereka.
Namun saya berpendapat sebarang mekanisme yang akan dicadangkan termasuk memanjangkan tempoh pajakan kepada 99 tahun haruslah sesuatu yang membawa manfaat kepada pewaris tanpa menjejaskan hak pemilikan mereka.
Sebagai satu-satunya kawasan tanah warisan orang Melayu yang masih terdapat di Kuala Lumpur, tentunya kerajaan perlu memastikan segala bentuk cadangan pembangunan kelak memelihara status pemilikan tanah asal iaitu sebagai pusaka warisan orang Melayu.
Budaya dan pembangunan bercirikan kemelayuan juga haruslah dimasukkan sebagai salah satu agenda pembangunan di Kampung Baru.
Berdasarkan kaji selidik yang dijalankan oleh Perbadanan Kampung Baru (PKB) terhadap para pewaris tanah menunjukkan 88% mahukan pembangunan di kawasan mereka.
Justeru satu cadangan pelan pembangunan secara komprehensif perlulah dibentangkan kepada para pewaris termasuk mekanisme untuk mengatasi masalah status pemilikan tanah yang menjadi halangan terbesar kepada pembangunan.
Saya optimis kerajaan Pakatan Harapan akan mampu membawa perubahan dan pembangunan kepada wajah Kampung Baru.
*Syed Badli Shah Syed Osman merupakan Ahli Majlis Penasihat Perbadanan Kampung Baru dan Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan.*
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen