Mesyuarat ke-4 Malaysia-Singapura berhubung ruang udara bulan ini


Christopher Rabin

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berharap isu Lapangan Terbang Seletar akan diselesaikan secepat mungkin. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 1 Februari, 2019.

MENTERI Pengangkutan Singapura akan berada di Malaysia bulan ini bagi perbincangan teknikal mengenai pertikaian ruang udara negara, kata Anthony Loke.

Menteri pengangkutan itu turut berkata rundingan mengenai isu Lapangan Terbang Seletar akan berterusan apabila rakan sejawatnya dari Singapura melawat Kuala Lumpur bagi pertemuan keempat antara kedua-dua mereka.

“Kami berharap dapat selesaikan masalah mengenai Lapangan Terbang Seletar secepat mungkin. Saya tidak mahu buat pengumuman mengenai perkara yang belum diputuskan,” katanya selepas melancarkan kempen Petronas Coffee Break ke-21 di Serdang hari ini.

Minggu lepas, Loke dan Khaw Boon Wan bersetuju dengan “cara memandang ke hadapan” untuk menyelesaikan pertikaian ruang udara di antara Malaysia dan Singapura, di samping melahirkan harapan bahawa pertikaian sejak dua bulan lalu akan berakhir tidak lama lagi.

Malaysia berpendapat bahawa prosedur pendaratan baru di Lapangan Terbang Seletar Singapura akan menghalang pembinaan bangunan pencakar langit di Pasir Gudang, Johor, yang terletak di utara lapangan terbang berkenaan.

Singapura kemudian mempertikaikan tuntutan dari Malaysia tersebut. – 1 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen