Wan Azizah pertahan lantikan politik dalam agensi kerajaan, GLC


Christopher Rabin

Lantikan mereka dibuat berdasarkan merit, kata Dr Wan Azizah Wan Ismail, mengulas kritikan berhubung lantikan beberapa eksekutif dalam agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan  (GLC). – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Februari, 2019.

TIMBALAN Perdana Menteri mempertahankan lantikan politik dalam agensi kerajaan oleh Pakatan Harapan (PH), bahawa individu yang dilantik bukanlah dalam kepimpinan tertinggi parti.

Lantikan mereka dibuat berdasarkan merit, kata Dr Wan Azizah Wan Ismail, mengulas kritikan berhubung lantikan beberapa eksekutif dalam agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan  (GLC).

“Mereka tak pegang jawatan tinggi dalam parti masing-masing. Cuma kadang-kadang kebanyakan mereka ada hubungan politik atau ahli politik,” kata beliau yang juga ahli Parlimen Pandan semasa mengadakan lawatan ke pasar Taman Muda pagi tadi.

“Kami sudah kurangkan lantikan politik. Namun, beberapa lantikan dibuat berdasarkan kelayakan mereka.”

Kerajaan PH baru-baru ini dituduh mengamalkan nepotisme dan kronisme.

Pelantikan Junaidah Kiting sebagai pengerusi Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan Nurul Iman Dzulkefly ke dalam lembaga pengarah AIM baru-baru ini mengejutkan ramai pihak.

Ini kerana Junaidah merupakan isteri kepada setiausaha politik Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamd dan Nurul Iman pula adalah anak kepada Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad.

Timbalan Pengerusi Amanah Kedah, Phahrolrazi Mohd Zawawi pula baru-baru ini diumumkan sebagai pengerusi Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas).

Awal bulan ini, Menteri Pembangunan Luar Bandar Rina Harun melantik Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Sukiman Sarmani sebagai pengerusi Universiti Teknikal Mara (Unitek-Mara), manakala Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi sebagai pengerusi Mara Corporation Sdn Bhd. – 1 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen