Kementerian cadang kaji semula penahanan kanak-kanak bawah Poca, kata TPM


Christopher Rabin

Tahanan berumur bawah 18 tahun harus diasingkan daripada tahanan dewasa, kata Dr Wan Azizah Wan Ismail. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 1 Februari, 2019.

KEMENTERIAN Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan mencadangkan perubahan kepada keperluan bagi kanak-kanak yang ditahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (Poca) kerana mereka tidak boleh dilayan seperti orang dewasa.

Menterinya, Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata tahanan berumur bawah 18 tahun harus diasingkan daripada tahanan dewasa.

“Kalau mereka adalah kanak-kanak, mereka tidak sama dengan tahanan lain.

“Kita berpendapat perlu dikaji semula (untuk memastikan) supaya mereka diletakkan dalam persekitaran yang sama. Ada perkara yang mana kanak-kanak tidak harus didedahkan kepada persekitaran sebegini,” beliau berkata demikian ketika mengedar limau di pasar Taman Muda pagi tadi.

Timbalan perdana menteri itu juga berkata kementeriannya akan mencadangkan mengenai kajian semula itu kepada kementerian yang berkenaan.

Mengenai desakan kumpulan hak asasi manusia supaya Poca dimansuhkan, beliau berkata polis memerlukan akta tersebut untuk tujuan kecemasan dan menjaga keselamatan awam.

Kumpulan hak asasi manusia Suaram dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) baru-baru ini yang mahu 142 kanak-kanak yang ditahan di bawah akta itu dibebaskan.

Mereka juga mengingatkan Pakatan Harapan mengenai janji untuk memansuhkan Poca serta Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012.

Pada 2016, Ahmad Zahid Hamidi yang ketika itu menteri dalam negeri berkata terdapat lebih daripada 150 juvana ditahan tanpa dibicarakan.

Setakat 30 Januari, hanya seorang tahanan Poca berumur bawah 18 tahun, kata Wan Azizah.

Dia ditahan selama dua tahun di Pusat Pemulihah Kluang kerana terlibat dalam rompakan bersenjata. β€“ 1 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen